Mayat seorang pemuda yang sudah reput ditemui dalam keadaan tergantung di sebuah pondok di Tanjung Panasu, Batang Igan di sini pada pagi Selasa.
Mangsa, Mohd Asrul Kalana, 20, yang merupakan seorang penganggur berasal dari rumah panjang Rumah Chabu,Tanjung Penasu di sini, dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 72 jam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mayat mangsa ditemui tergantung oleh penduduk rumah panjang dalam pondok tersebut pada jam 5.25 pagi.
"Siasatan awal percayai si mati telah mati kira-kira tiga hari atau 72 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput dan membusuk," katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian mangsa.
Tambahnya, pemeriksaan pihak polis juga mendapati tiada sebarang tanda kecederaan pada badan mangsa.
"Punca kematian mangsa masih disiasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut iaitu membunuh diri dengan mengantung diri," jelasnya.
Katanya, datuk mangsa berusia 80 tahun, memaklumkan bapa pemuda itu telah meninggal dunia sementara ibunya telah berkahwin semula.


*Di Malaysia, mereka yang berhadapan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah mereka boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur dan Selangor pada talian 03-79568145 atau e-melkan kepada [email protected]