Seorang lelaki dan teman wanitanya yang dipercayai menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang mayatnya disembunyikan di dalam tong ikan serta disyaki mencederakan kakak mangsa berusia empat tahun di Flat Paya Nahu, di sini, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, suspek lelaki berusia 34 tahun dan suspek wanita berusia 24 tahun yang juga ibu kanak-kanak malang itu, dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Reman terbabit dibuat bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 325 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan.

MESTI BACA: Ibu lihat sendiri anak dibungkus, diletak dalam tong ikan - Jiran


Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui maut dipercayai didera, manakala kakaknyacedera parah dipercayai akibat dipukul teman lelaki ibu dan ibu mereka sendiri.

Kanak-kanak lelaki terbabit dikatakan sudah meninggal dunia sejak 9 November lalu, dengan mayatnya sudah reput disembunyikan suspek di dalam tong ikan yang disimpan di dalam satu bilik di rumah berkenaan.

Kejadian itu terbongkar selepas berlaku pergaduhan antara ibu mangsa dengan suspek, kira-kira jam 1.20 pagi tadi yang memaksa campur tangan pihak polis.