Tutup

Mayat reput lebih seminggu ditemui di tepi jalan

Mayat reput lebih seminggu ditemui di tepi jalan
Polis berkata, berdasarkan kepada keadaan mayat tersebut, katanya, lelaki itu dipercayai telah mati lebih daripada 10 hari yang lalu. - Foto ihsan polis
KANOWIT: Mayat seorang lelaki yang telah reput dipercayai sudah mati lebih seminggu ditemui oleh orang awam di Jalan Kanowit-Durin berhampiran dengan bulatan Kanowit pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kes itu selepas seorang pengadu menghubungi Balai Polis Kanowit pada jam 3.40 petang.
"Pengadu telah memaklumkan dia terhidu bau busuk berkemungkinan bangkai haiwan atau mayat manusia semasa berjalan melalui kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dua anggotanya yang diarah membuat pemeriksaan telah menjumpai satu mayat yang sudah reput dan belum dikenal pasti.
"Hasil daripada pemeriksaan terhadap mayat tersebut, didapati ia mulai mereput dipercayai telah mati lebih seminggu," ujarnya.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada tubuh si mati yang memakai seluar jean dan bertali pinggang hitam tanpa berkasut.

Berdasarkan kepada keadaan mayat tersebut, katanya, lelaki itu dipercayai telah mati lebih daripada 10 hari yang lalu.

Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Kanowit untuk dibedah siasat.

Setakat ini, katanya, tiada sebarang laporan orang hilang dibuat di daerah Kanowit

"Kes buat masa ini disiasat sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh nanti," katanya lagi.






Tag: mayat reput, Polis Daerah Kanowit, Balai Polis Kanowit, Hospital Kanowit, mati mengejut



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.