Mayat sepasang suami isteri ditemui di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor, pada pagi Isnin.

Kedua-dua mayat berusia 31 dan 27 tahun itu ditemui seorang wanita kira-kira jam 9 pagi sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis yang melakukan pemeriksaan mendapati mayat lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori ditemui tergantung pada alang rumah.

Manakala mayat wanita yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang ditemui terbaring di atas katil dalam sebuah bilik.

Setakat ini siasatan awal polis percaya wanita itu mati di sebabkan minum racun namun siasatan lanjut masih dilakukan.

"Kita tidak temui kesan-kesan yang mencurigakan, siasatan masih dijalankan. Si suami (merupakan) kelindan lori dan isteri kerja kilang di Perai.

"Kedua-dua mereka menumpang di rumah ini dan mereka telah dijumpai oleh tuan rumah yang baru balik kerja jam 9 pagi tadi. (Tuan rumah itu) cuba memanggil mereka tetapi tiada jawapan dan dia ketuk (pintu), namun tiada jawapan.

"Selepas itu dia jumpa si suami tergantung dan isterinya terlentang di atas katil," kata Noorzainy.

Katanya, siasatan awal polis mempercayai bahawa pasangan yang berasal dari Perak itu bertindak sedemikian berikutan masalah wang serta masalah peribadi yang dihadapi mereka.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Mayat pasangan itu kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sementara itu, pemilik rumah D.M Nirmala, 30, memaklumkan dia baru sahaja pulang dari tempat kerjanya di sebuah kantin sebelum mendapati motosikal milik pasangan itu masih berada di rumah sedangkan mereka sepatutnya sudah pergi bekerja.

Dia terkejut apabila mendapati pasangan berkenaan sudah tidak bernyawa.

Menurutnya pasangan itu menyewa di rumahnya sejak sebulan lalu dan tidak mempunyai anak walaupun sudah lima tahun berkahwin .

Adik kepada mangsa lelaki berusia 21 tahun turut tinggal bersama suami isteri tersebut.

Pasangan itu juga katanya sering bertengkar mengenai perkara melibatkan wang dan cemburu.