Mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan terikat di persisiran Pantai Batu Feringgi, berhadapan dengan Tropical Spice Garden, Teluk Bahang petang tadi.

Kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira jam 6 petang tadi oleh orang awam yang melalui kawasan pantai terbabit.

Ketika ditemui, mayat wanita berusia lingkungan 30-an dan kanak-kanak berusia anggaran empat tahun itu berada dalam keadaan terikat di bahagian perut menggunakan tali.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supritendan Anuar Omar berkata, ketika ditemui, mayat wanita berkenaan memakai baju-T berwarna kelabu dan seluar pendek berwarna merah jambu manakala kanak-kanak terbabit memakai baju-T serta seluar berwarna kelabu.

"Mereka terikat antara satu sama lain...terdapat tali rafia yang mengikat bahagian perut kedua-dua mangsa," katanya di sini malam ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut adalah anak kepada wanita itu dan kedua-duanya dipercayai meninggal dalam tempoh kurang daripada 24 jam sebelum mayat mereka ditemui.

Bagaimanapun identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenalpasti kerana tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada badan mangsa.

Tambah Anuar, mayat mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk bedah siasat.

Beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan diminta supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membuat pengecaman dan membantu siasatan.

Sementara itu, Siti Naimah Mohd Sabri, 25, berkata dia ternampak mayat wanita dan kanak-kanak berkenaan tersangkut di kawasan batu di tepi pantai dipercayai dibawa ombak.

"Saya dan dua rakan sedang mandi di pantai itu sebelum ternampak mayat itu... saya terus panggil kawan-kawan untuk melihat lebih dekat dan kami nampak dua mayat itu dalam keadaan bertindan dengan wanita di bahagian bawah manakala kanak-kanak atas mayat wanita itu.

"Kami terus pergi ke kedai berhampiran memaklumkan pemiliknya dan menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian," katanya. -- Bernama