Seorang wanita ditemukan maut dengan kesan kelar di tubuh di tempat letak kenderaan Jalan Merbah, Pusat Bandar Puchong, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan mayat mangsa yang dianggarkan berusia 50-an itu dijumpai oleh anggota peronda yang sedang bertugas di kawasan itu.

"Semakan lanjut mendapati, terdapat kereta jenis Toyota Camry dipercayai milik mangsa, berada di lokasi, dan hasil pemeriksaan, mangsa tinggal di Puchong Jaya.

"Terdapat kesan kelar pada mangsa," katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Menurutnya, siasatan diteruskan dengan bantuan forensik Polis Selangor, Unit Anjing Pengesan (K9) dan semakan kamera litar tertutup di kawasan sekitar tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Serdang hari ini.

Mayat mangsa ditemui anggota peronda di Puchong Jaya. Astro AWANI

Sementara itu, Ismadi turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

"Mangsa mati di tempat kejadian. Terdapat kesan kelar yang mana kita percaya ini adalah (akibat) dibunuh.

"Siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," tambahnya.