Tutup

MB Johor kini bergelar Datuk

MB Johor kini bergelar Datuk
Dr Sahruddin Jamal dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk, oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar - Foto ihsan Royal Press Office
KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi tadi.

Beliau menerima penganugerahan pada majlis mengangkat sumpah 10 Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) di hadapan Sultan Johor.
Dr Sahruddin dilihat tiba di Istana Bukit Serene jam 8.40 pagi sebelum Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO bermula 9 pagi.

Sepuluh exco yang mengangkat sumpah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Sheikh Umar Bagharib Ali (Paloh) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).
Tiga muka baharu yang turut mengangkat sumpah ialah Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Dua exco dalam barisan kepimpinan dahulu, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) dan Tan Hong Pin (Skudai), digugurkan.