Tutup

MB Pahang ambil langkah terbaik tangani hutang negeri

MB Pahang ambil langkah terbaik tangani hutang negeri
Wan Rosdy (kanan) mengetik perakam waktu ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama di pejabatnya di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
KUANTAN: Menteri Besar Pahang yang baharu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengambil langkah terbaik untuk mengurangkan hutang kerajaan negeri tanpa membebankan rakyat.
 
Wan Rosdy menegaskan, beliau akan melihat kembali kedudukan sebenar hutang negeri dan mengambil langkah-langkah sewajarnya.

"Kita juga berhasrat meneruskan projek yang dirancang termasuk projek-projek mega di negeri ini selain mencari langkah terbaik untuk mengurangkan beban hutang," katanya dalam sidang akhbar selepas selepas memulakan tugas pada hari pertama di pejabatnya di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Wan Rosdy tiba di pekarangan Wisma Sri Pahang kira-kira jam 9.50 pagi sebelum mengetik perakam waktu kira-kira jam 9.56 pagi.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail bersama hampir 100 penjawat awam.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat khususnya berkaitan projek mega yang dirancang termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Saya juga berhasrat untuk meneruskan projek yang memberikan kebaikan untuk rakyat, yang dirancang kita teruskan manakala yang berkaitan pusat kita bincang, harap kerajaan teruskan projek yang dirancang lebih awal," katanya.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, tempoh jawatan selama dua tahun yang diperkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada majlis angkat sumpah semalam akan dipikul sebaik mungkin.

"Tempoh itu diperkenan Tengku Abdullah dan sebagai Menteri Besar yang dilantik, saya kena buat kerjalah," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat dengan mengurangkan kerenah birokrasi tanpa membelakangkan peruntukan undang-undang.

"Banyak perkara perlu dilihat kembali terutama dalam sistem penyampaian dan berkemungkinan dalam berapa kes hanya memerlukan kelulusan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa perlu menunggu Menteri Besar," katanya.