Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa terkilan kerana tidak sempat menyerahkan surat lantikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib sebagai Pengerusi Lumut Maritime Terminal.

Beliau yang ditemui di Masjid Al-Rahmaniah, Felda Sungai Behrang pada Khamis berkata, surat lantikan itu sudah ditandatangani pagi semalam namun tidak sempat diserahkan kepada allahyarham.

Katanya lagi, kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham ialah di kediaman menteri besar.

“Saya sendiri merasa pemergian beliau sebagai satu kehilangan peribadi kerana beliau telah saya anggap seperti abang kandung saya sendiri.

“Waktu saya mula mula libatkan diri dalam politik, beliau antara orang yang mula mula mengajar saya, memberi pedoman untuk menjadi seorang ahli politik yang baik.

“Sebenarnya pagi semalam jam 11 sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir saya telah menandatangani satu surat lantikan untuk Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Lumut Maritime Terminal tidak sempat saya nak serahkan surat itu pada beliau,” katanya.


Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Bentong, Pahang ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River kira-kira jam 11 malam semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kali terakhir dia bertemu dengan allahyarham adalah ketika perjumpaan bersama ADUN UMNO di dusun milik arwah.

“Minggu lepas, Sabtu lepas kita buat retreat dengan ADUN UMNO di dusun dia, dusun yang baru siapkan. Jadi kita ada di situ, kita makan berkelah mandi-manda di situ.

“Dia nampak pada waktu Itu gembira, tak ada tanda yang dia sakit malahan dia bercadang untuk membuat retreat yang kedua bukan saja untuk ADUN tapi juga untuk menjemput rakan-rakan politik yang lain untuk berkampung di tempat sama.

“Jadi kita amat terasa sebab baru lagi berjumpa,” ujarnya.


Jenazah Mohd Khusairi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, Slim River pada jam 9.20 pagi, pada Khamis.

Terdahulu,jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Rahmaniah Felda Sungai Behrang kira-kira jam 8.30 pagi.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada petang Rabu kerana mengalami serangan jantung.

Allahyarham dikatakan tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.