Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunjukkan bakat berlakon apabila membuat penampilan istimewa dalam sebuah filem arahan pengarah popular tanah air, Sabri Yunus.

Antara barisan pelakon filem itu ialah pelakon kanak-kanak Izwan Hafiz yang memegang watak Buntat, Imuda, Khatijah Tan, Omar Abdullah, Kazar dan Sabri sendiri.

Buntat mengisahkan bagaimana seorang budak pada tahun 1968 yang lari dari kampungnya untuk mengerjakan haji dengan menaiki kapal haji.

Rentetan kejadian telah dialami budak tersebut, termauk pelbagai pengorbanan yang terpaksa dihadapinya. Semua itu mencetuskan perasaan sedih mahupun gembira.

Ahmad Faizal (dua dari kiri) bersama pengarah Sabri Yunus (kiri) dan para pelakon filem 'Buntat' di lokasi penggambaran. - Astro AWANI

Ahmad Faizal hanya berlakon satu babak dan penggambaran dijalankan di Taiping yang mengambil masa hanya satu jam.

Beliau memegang watak seorang 'Syeikh' penjual buku agama di Pulau Pinang yang banyak memberi nasihat kepada orang ramai yang berada di pelabuhan, terutama Buntat.

“Saya amat meminati dunia filem dan menyokong filem Buntat kerana banyak memberi mesej dan pengajaran, apatah lagi 100 peratus pengambaran filem ini dilakukan di dalam negeri Perak. Ia sedikit sebanyak membantu mempromosi negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Filem Buntat dijadual untuk ditayangkan di pawagam seluruh Negara sekitar September tahun hadapan.