Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan penghargaan kepada guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil di atas tindakan berani menyelamatkan empat remaja perempuan daripada lemas dalam tali air di Kampung Gajah, Rabu lalu.

Ahmad Faizal dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, pentadbiran kerajaan negeri akan turut mempertimbangkan sumbangan khas kepada Muhammad Nor Imran, 31, sebagai menghargai keberanian dan jasanya menyelamatkan semua mangsa.

"Tindakan beliau yang sanggup mengambil risiko bagi menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan oleh arus deras wajar dipuji.

"Hanya mereka yang tidak mementingkan diri sendiri sahaja yang mampu memberi reaksi seberani itu dalam sekelip mata, biar pun membahayakan nyawa sendiri.

"Sementara itu, marilah kita doakan semoga semua mangsa yang terlibat dalam tragedi itu akan segera pulih sepenuhnya," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan seorang guru KAFA sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan empat remaja perempuan yang hanyut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah.

Kejadian sekitar 12.20 tengahari itu disedari Muhammad Nor Imran yang melalui jalan tersebut ketika dalam perjalanan ke Hutan Melintang.

Video guru KAFA di Sekolah Rendah Agama Rakyat Parit 25 Baroh, Tanjung Bayan, Hutan Melintang itu juga tular di media sosial selepas berjaya menyelamatkan semua mangsa.

Difahamkan semua mangsa yang berusia 18 tahun itu telah dibawa ke Hospital Teluk Intan dan Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.