Tutup

MB Selangor ingatkan rakyat hormat Jalur Gemilang

MB Selangor ingatkan rakyat hormat Jalur Gemilang
Amirudin turut mengingatkan semua pihak, supaya memelihara keamanan dan tidak merosakkan kemerdekaan negara, yang dinikmati pada masa ini. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengingatkan rakyat negeri ini supaya menghormati Jalur Gemilang, kerana ia disifatkan sebagai aset paling bernilai kepada negara.

Katanya, Jalur Gemilang juga merupakan lambang penyatuan dan muafakat rakyat di Malaysia.

"Kerajaan Selangor dengan tegas menolak cubaan pihak tertentu, yang memperlekeh atau menggunakan bendera untuk kepentingan sempit mereka, dan sikap seperti ini tidak diterima di negeri ini.

"Sekarang pula ada unsur untuk memperlekehkan Jalur Gemilang yang kita usung serta dijaga sejak dahulu. Ia (Jalur Gemilang ) adalah aset bernilai dan bukan sekadar kertas, kain atau fabrik yang mempunyai pelbagai warna semata-mata," katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di sini, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan semua pihak, supaya memelihara keamanan dan tidak merosakkan kemerdekaan negara, yang dinikmati pada masa ini.
"Dahulu penjajah secara sinis katakan kita tidak mampu bangunkan negara sebab ada pelbagai kaum, malahan negeri juga terpisah serta memiliki jati diri, bahasa dan kebudayaan tersendiri.

"Namun, berkat kesepakatan pemimpin terdahulu, akhirnya kita patut berbangga apabila negara disegani dan juga dicemburui, kerana kejayaan dan keamanan yang kita capai hari ini," katanya.

-- BERNAMA