Seramai 17,109 penjawat awam Selangor bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak satu bulan gaji.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan perkara tersebut pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembayaran bantuan khas tersebut akan dibuat pada 25 Jun ini.

Beliau turut mengumumkan 10 peratus daripada bantuan khas kewangan itu akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia dan ia hanya dikenakan kepada pegawai gred 44 ke atas.

“Sumbangan 10 peratus itu adalah atas semangat patriotik penjawat awam yang tidak mahu tertinggal dalam usaha murni untuk mengurangkan bebanan hutang negara yang ditinggalkan pentadbiran lama.

“Selain itu, kita juga akan memberikan saguhati sebanyak RM1,000 buat pertama kalinya kepada 755 kakitangan di tujuh jabatan Persekutuan negeri Selangor," katanya.