Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

MBM sokong pindaan Akta DBP 1959 perkasa penggunaan Bahasa Melayu

MBM sokong pindaan Akta DBP 1959 perkasa penggunaan Bahasa Melayu
Akta itu memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong dan mendokong penuh usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Presiden MBM Jufitri Joha berkata tujuan pindaan akta tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang.
"Setelah hampir 64 tahun merdeka, malangnya umum melihat bahasa Melayu belum cukup ditempatkan secara wajar dan saksama bahkan terkadang tidak dipedulikan.

"DBP sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab memelihara amanah bahasa kebangsaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan bukan sekadar menggalakkan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Jufitri, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

"Bagaimanapun sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan kuasa mengambil tindakan.

"Justeru, MBM memberikan sokongan terhadap DBP dan syor yang diambil untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995)," katanya.

Pada masa sama katanya, pelantikan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan sebagai Pengerusi jawatankuasa itu dilihat satu langkah yang tepat, sementara MBM juga merupakan antara anggota jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus diperkasakan bagi mencapai agenda "Kemakmuran Bersama" dan status negara maju.

-- BERNAMA


Tag: majlis belia malaysia, akta dewan bahasa dan pustaka, akta dbp, dbp, bahasa melayu, undang-undang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.