Tutup

MCA dukung semangat kebersamaan Muafakat Nasional

MCA dukung semangat kebersamaan Muafakat Nasional
Wee Ka Siong optimis mana-mana kaum tidak akan menolak konsep kebersamaan Muafakat Nasional.
KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA mendukung semangat kebersamaan dan nilai-nilai sejagat yang ada dalam Muafakat Nasional.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong pada masa sama optimis mana-mana kaum juga tidak akan menolak konsep berkenaan.

“Kalau Datuk Seri Zahid (Pengerusi BN) kata muafakat ini sebagai satu semangat bersifat inklusif, saya rasa mana-mana rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak akan menolak..jadi, apa yang kita rasa tak patut.

“Maksudnya ia ada sifat dan nilai-nilai sejagat, jadi kita mendukng nilai-nilai sejati ini,” katanya.
Ka Siong berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, selagi Muafakat Nasional mengamalkan sifat kesederhanaan dan mengambil kira pandangan dan menghormati kaum, beliau merasakan itu adalah nilai sejagat yang perlu disokong penuh.
Bagaimanapun, beliau menekankan semua pihak perlu realistik memandangkan BN bukan lagi kerajaan yang memerintah.

“Kita kena realistik, kita tak boleh terlalu ghairah dengan mengatakan kita sudah dapat menubuhkan satu pakatan.

“Setakat ini tidak ada sebarang kesepakatan atau nama dia pakatan atau apa gabungan..tetapi kalau melibatkan semangat memang tidak menjadi masalah,” jelasnya.

Mengulas pertanyaan sama ada MCA akan menyertai Muafakat Nasional jika ia telah diinstitusikan, Ka Siong memberitahu, ia bukan sesuatu yang mudah .

“Sekiranya bila sampai waktu itu, anda tanyalah saya sebab saya yakin sekarang ini kerajaan Pakatan Harapan akan buat apa juga supaya ia tidak berjaya.

“Kita boleh bekerjasama macam Muafakat Nasional. Semangat Muafakat Nasional diterap di Tanjung Piai. Kita nampak nampak masing-masing tidak sebut isu kaum atau isu agama, Kita mendokong nilai sejati dan lihat menang,” jelas beliau lagi.


Tag: Wee Ka Siong, UMNO, MCA, Pakatan Harapan, Malaysia, Muafakat Nasional



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.