Dakwaan pembangkang mengatakan Projek Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) ialah 'closed city' dan melindungi koloni pekerja China menyebabkan rakyat tempatan tidak dibenarkan memasuki kawasan berkeluasan 1,214 hektar itu, adalah tidak benar.

Mengikut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), tembok konkrit yang dibina bukannya memagari keseluruhan kawasan berkenaan, tetapi hanya kawasan kilang keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan keluasan 287.3 hektar.

"Alliance Steel (M) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Co Ltd dari China, melabur sebanyak RM4.2 bilion untuk membina sebuah kilang keluli bersepadu moden di lokasi seluas 710 ekar di MCKIP.

"Ia akan menghasilkan keluli karbon tinggi dan keluli berbentuk H dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3.5 juta tan.

"Kawasan binaan Alliance Steel itu merupakan kawasan persendirian dan tembok berkenaan dibina untuk menghalang pekerja bahagian pentadbiran daripada memasuki kawasan pembinaan kilang berkenaan," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan, di sini, pada Rabu.

Katanya ia merupakan sebahagian peraturan yang ditetapkan Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) untuk memastikan keselamatan di tapak kilang berkenaan

Dalam kenyataan media setebal tiga muka surat itu, MMKN turut memperjelaskan tentang beberapa isu lain yang digembar-gemburkan pihak pembangkang termasuk soal peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Menurut kenyataan itu, dakwaan mengatakan anak tempatan tidak memperoleh peluang pekerjaan daripada projek berkenaan dan terdapat hanya 3,000 pekerja asing yang sedang bekerja di kawasan itu juga tidak tepat.

"Pada masa kini separuh daripada pekerja Alliance Steel merupakan rakyat tempatan dan kesemua pekerja asing berkenaan mempunyai permit kerja yang dibenarkan untuk berada di tapak dalam tempoh pembinaan.

"Mereka akan kembali ke China selepas kilang itu siap pada akhir tahun depan (2018) dan sebaik kolang itu beroperasi nanti dianggarkan nisbah pekerja akan menjadi 70 peratus pekerja rakyat tempatan manakala 30 peratus sahaja dari China.

"Dianggarkan lebih 4,00 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat tempatan sebaik kilang ini beroperasi kelak dan syarikat ini juga telah beberapa kali mengadakan ekspo pekerjaan di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Selain itu, kenyataan turut menafikan dakwaan kononnya kesemua bahan pembinaan diimport dari China dan kontraktor-kontraktor tempatan langsung tidak terbabit dalam pembinaan kilang berkenaan.

"Bukan semua bahan pembinaan diimport kerana mengikut rekod, Alliance Steel mengeluarkan belanja RM200 juta untuk membeli atau menyewa bahan-bahan untuk kerja pembinaan daripada syarikat tempatan, malah mereka juga mengadakan kerjasama dengan syarikat kontraktor tempatan untuk turut sama terlibat dalam pembinaan kilang itu melibatkan kontrak bernilai RM530 juta," katanya.

Pada masa yang sama, tidak dinafikan terdapat pasar raya dan restoran di dalam kawasan binaan berkenaan bagi menampung keperluan lebih 3,000 perkerja di kawasan itu, memandangkan kawasan MCKIP terletak lebih 30 kilometer dari bandar Kuantan.

"Pasar raya dikendalikan dalam kawasan Alliance Steel itu milik usahawan tempatan dari Pahang, Tunas Manja Group dan dianggarkan setiap bulan urus niaga barangan keperluan harian termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan laut yang dibekalkan dari kawasan sekitar mencecah RM4 juta," katanya.

Kesemua urus niaga itu, beliau berkata menggunakan ringgit Malaysia dan bukannya mata wang China, Yuan seperti didakwa pihak pembangkang.

Kenyataan itu turut menjelaskan MCKIP dilaksanakan di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk meningkatkan ekonomi di Pantai Timur kerana kawasan tersebut juga kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan gas serta mineral lain.

-- BERNAMA