Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyambut baik keputusan kerajaan yang mahu mengambil tindakan tegas dan drastik berhubung kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang semakin bertambah baru-baru ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah yang akan diambil oleh kerajaan itu bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman yang lebih berat dan setimpal pada masa hadapan.

Menurut beliau, MCPF menyokong agar undang-undang iaitu Akta Pengangkutan Jalan yang berkaitan dipinda pada sidang Parlimen namun menggesa agar pelaksanaannya disegerakan.

"Perkara ini perlu diberi perhatian serius bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian iaitu Seksyen 44 (Akta 333), bahkan juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan," kata Lam Thye dalam kenyataan yang diedarkan pada Ahad.

Beliau berkata, sudah tiba masanya undang-undang tersebut dikaji semula dan dipinda bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

Apa lagi, tegas beliau, penalti atau hukuman di bawah akta sedia ada dilihat tidak memberi kesan kerana terdapat segelintir pemandu yang tidak serik untuk memandu selepas mengambil minuman yang mengandungi alkohol.

Tegas Lam Thye, memandu di bawah pengaruh alkohol (driving under influence) merupakan satu masalah yang perlu diberi perhatian serius.

Oleh itu, pindaan kepada akta berkaitan, kata beliau, bukan sahaja tertumpu kepada pengambilan minuman beralkohol tetapi termasuklah dadah, ubat-ubatan atau apa-apa bahan lain yang boleh mendatangkan kesan semasa memandu.

Dalam masa sama, MCPF juga, jelas beliau, mencadangkan pindaan tersebut termasuk memberi pembelaan kepada waris mangsa untuk mengambil tindakan yang berpatutan terhadap pihak pesalah berkenaan.

"Pihak polis perlu melaksanakan operasi secara besar-besaran dan memperhebatkan lagi usaha untuk mengesan orang yang memandu dalam keadaan mabuk.

"Selain hukuman berat menanti pelaku terbabit, bakal pemandu juga perlu diberi kesedaran dan pendidikan terlebih dahulu pada peringkat permulaan iaitu sebelum mendapat lesen memandu," ujar Lam Thye lagi.

MCPF, tegas beliau, bukanlah melarang individu untuk mengambil alkohol tetapi membantah sekeras-kerasnya pemandu yang memandu di dalam keadaan mabuk.

"Mintalah bantuan orang lain untuk memandu jika anda mengambil minuman beralkohol," katanya.