Majlis Daerah Kerian (MDK) mengeluarkan notis penggantungan lesen aktiviti taman tema air di Pesta Zoo Belon, Dataran Alamanda di sini terhadap penganjur program berkuat kuasa serta-merta susulan berlaku kemalangan kanak-kanak lemas pada 2 September lalu.

Yang Dipertuanya, Helmi Jusoh@Yusoh berkata, tindakan menggantung lesen taman tema berkonsepkan zoo belon air itu akan dilaksanakan sehingga siasatan polis terhadap kemalangan awam tersebut selesai.

Menurutnya, MDK sebelum ini sudah meluluskan penganjuran Ekspo Bazar Ekonomi dan Pesta Zoo Belon di lokasi kejadian mulai 31 Ogos lalu hingga 17 September ini, tertakluk kepada syarat-syarat kelulusan ditetapkan.

"Pada 4 September, MDK dimaklumkan mengenai kemalangan awam berlaku di lokasi pesta melibatkan seorang kanak-kanak Orang Kelainan Upaya(OKU) yang lemas ketika bermandi-manda di zoo belon air sehingga membawa kepada tragedi kematian.

"Hari ini, saya sendiri bersama pegawai bahagian perlesenan MDK turun meninjau lokasi kejadian dan berjumpa dengan penganjur pada jam 9 pagi," katanya kepada media di sini pada Rabu.

BACA: FB live terakhir sebelum anak lemas

Helmi berkata, lawatan dan tinjauan dibuat mendapati papan tanda syarat-syarat kepada pengunjung ada dipamerkan di pintu masuk taman tema air itu.

Menurutnya, berdasarkan keterangan penganjur program yang berasal dari Merbok, Kedah, sewaktu kejadian berlaku, ada pengawal keselamatan ditempatkan berdekatan kolam bagi memantau aktiviti air di situ.

"Bagaimanapun, MDK tetap mengeluarkan notis penggantungan lesen bagi aktiviti zoo belon air yang berkuat kuasa serta merta.

"MDK percaya polis akan melakukan siasatan lanjut mengenai kes itu dan arahan penggantungan lesen dibuat sehingga siasatan mereka selesai," katanya.