Media arus perdana masih merupakan sumber utama berita, benar dan perlu diyakini berbanding media sosial, kata Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam industri media arus perdana adalah golongan profesional yang terlatih, diberi tauliah dan lesen, malah tertakluk pada undang-undang dan sentiasa mematuhi etika dalam mendapatkan sumber maklumat yang betul.

"Media arus perdana bukan sahaja terdiri daripada wartawan tetapi ada pengarang, penyunting berita bagi memastikan ketepatan sumber maklumat yang disahkan benar dan tepat.

"Berbeza dengan media sosial, ia bukanlah sumber berita...ia hanya media untuk bersosial yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk berkata apa yang mereka inginkan sama seperti di kedai kopi. Jadi kita tidak perlu keliru dengan sumber daripada media sosial kerana maklumat tepat hanya boleh diperolehi daripada akhbar, radio, laman web dan televisyen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kecenderungan masyarakat yang seolah-olah hanya mendapatkan maklumat daripada media sosial berbanding media arus perdana sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, beliau hadir ke Program 'Sepagi Dengan Datuk A Kadir Jasin' di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Beliau juga tidak menafikan bahawa terdapat segelintir pegawai kerajaan Pakatan Harapan yang bergantung maklumat kepada media sosial sahaja dan ada di antaranya yang tidak membaca akhbar serta menonton televisyen arus perdana.

Mereka juga mungkin terlalu bergantung dengan info yang disampaikan dalam kumpulan WhatsApp hingga tidak mustahil menerima maklumat yang salah.

Selain itu ketika ditanya mengenai cadangan penggabungan UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula, beliau berkata, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihak yang bertanggungjawab perlulah menyelidik asal usul sejarah penubuhan sesebuah universiti itu.

Dengan mengaitkan penubuhan UMT sebagai sebuah universiti melalui proses yang unik, Kadir berkata, sekiranya tiada sebarang keistimewaan tidak mungkin ia ditubuhkan pada tahun tahun 2007.

"Ini masalah orang kita termasuk orang politik, mereka buta sejarah, pekak sejarah. Di sini, bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera di bawah Universiti Pertanian Malaysia (UPM-kini dikenali Universiti Putra Malaysia), kemudian pusat ini dinaiktaraf kepada fakulti dan sekarang menjadi sebuah universiti.

"Kita mengaku kita ini demokrasi, hormati kebebasan, dua universiti ini adalah dua institusi intelektual, mereka (pihak universiti) berdebatlah (mengenai penggabungan) dan siapa yang ada hujah boleh yakinkan itulah yang betul, ada dua keputusan iaitu satu keputusan rakyat dan satu lagi keputusan kerajaan, namun kerajaan juga ada hak untuk memutuskan mengenainya," katanya.

Mengenai isu peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, Kadir berkata, ia akan ditunaikan cuma masanya belum dinyatakan.

"Ada lima janji yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan iaitu Tun M jadi Pengerusi PH, Tun M untuk memimpin PH pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu, seterusnya Tun M menjadi Perdana Menteri, memohon keampunan untuk Anwar dan seterusnya menyerahkan jawatan kepada Anwar.

"Namun, persetujuan itu dalam mana-mana dokumen pun tidak dinyatakan tarikh. Tahun 2020 ke, 2030 ke atau 2050 pun tak dinyatakan bilakah tarikhnya," katanya yang yakin Perdana Menteri akan menunaikan janjinya. - BERNAMA