Media Indonesia tuduh Malaysia 'curi' tarian Ngajat

Media Indonesia tuduh Malaysia 'curi' tarian Ngajat
Media Indonesia tuduh Malaysia 'curi' tarian dayak dan slogan "Unity in Diversity" (Foto: ITBM)
KUALA LUMPUR: Media di Indonesia mendakwa Malaysia telah 'mencuri' tarian suku Dayak di Kalimantan dan moto republik itu, Bhinneka Tunggal Ika (berbeza-beza tetapi tetap satu) sebagai latar belakang gerai di Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2014 yang bermula sejak Rabu (8 Oktober).

Gerai pameran Malaysia di pesta buku terkenal dunia itu memaparkan foto lima penari termasuk seorang yang menarikan tarian Ngajat etnik Iban dengan slogan "Unity in Diversity".

Portal Suara Pembaruan menyifatkan latar belakang gerai Malaysia itu sebagai menjolok mata dan menimbulkan pertanyaan.

"Gambar dan tema yang terpampang jelas di booth Malaysia itu tentu menimbulkan pertanyaan. Sebab, suku Dayak jelas berada di Indonesia. Sedangkan, tema "Unity in Diversity" yang bererti berbeza-beza tetapi satu merupakan moto atau simbol bangsa Indonesia yakni Bhinneka Tunggal Ika," lapor portal berita itu pada Rabu.

Laporan sama disiarkan oleh portal Berita Satu dan ruangan blog di portal berita Kompas.

berita satu tuduh
Laporan BeritaSatu.Com yang mendakwa Malaysia 'mencuri' tarian Dayak dan slogan 'Unity in Diversity' milik Indonesia

Malaysia sebelum ini pernah dituduh oleh media di Indonesia mencuri beberapa kebudayaan serumpun daripada pakaian seperti batik, makanan seperti rendang sehinggalah tarian dan wayang kulit.

Pada November 2007, segelintir pihak di Indonesia menuduh Malaysia mendakwa barongan sebagai tarian tempatan yang dipaparkan dalam iklan pelancongan Malaysia Truly Asia.

Tuduhan itu membawa kepada siri tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Sepanjang episod itu, Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mendakwa tarian barong sebagai tarian tempatan biarpun ia wujud di kalangan masyarakat Jawa yang menetap di Johor dan Selangor.
Menurut Suara Pembaruan, gerai pameran Malaysia di pesta buku itu terletak berdekatan dalam jarak lima meter dari gerai Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Wiendu Nuryanti meminta isu itu tidak ditanggapi dengan berlebihan sebaliknya diterima sebagai mesej supaya Indonesia menjaga dan membanggakan kebudayaannya.

""Kuncinya, kita harus jaga, pelihara. Kita harus bangga dengan budaya kita, kalau tidak orang lain yang membanggakan," katanya seperti dipetik oleh Berita Satu.

Tentang slogan Unity in Diversity, beliau mengakui moto itu bersifat umum tetapi "sudah sangat melekat dalam diri bangsa Indonesia".

"Seharusnya (Malaysia) etika sajalah karena itu sudah melekat di kita," katanya lagi.


Gerai Malaysia di FBF 1
Gerai Malaysia di Festival Buku Frankfurt 2014 (Foto: ITBM)


Laporan media di Indonesia itu mendapat reaksi yang berbagai daripada rakyat republik itu dengan majoritinya melemparkan kata-kata pedas terhadap Malaysia dan mengkritik tindakan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menggunakan foto penari Ngajat dan slogan Unity in Diversity.

Mereka umumnya menuduh Malaysia tidak berbudaya dan mencuri budaya Indonesia serta mendakwanya sebagai budaya sendiri.

Sesetengah yang lain bagaimanapun mengingatkan tentang kedudukan geografi Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan serta antropologi manusia yang tidak terpisah seperti sempadan negara.

"Apa masalahnya… Suku Dayak itu bukan hanya ada di Indonesia… Malaysia pun punya suku Dayak," komen Soejanto AK di laman Facebook Berita Satu yang memuatkan laporan tersebut.

Seorang pembaca lain menyelar laporan media itu yang disifatkannya tidak memahami latar budaya dan geografi Nusantara.



kritik malaysia fb
Antara komen-komen pembaca di laman Facebook Berita Satu mengenai laporan yang menuduh Malaysia 'curi' tarian dayak dan slogan 'Unity in Diversity'


sokong 1

sokong 2

sokong 3
Antara komen pembaca portal Beritasatu.Com yang tidak menyenangi laporan tersebut


Pesta Buku Frankfurt yang bermula pada Rabu berlangsung sehingga Ahad ini (12 Oktober). Ia disertai oleh lebih 100 buah negara.

MBKM mengetuai delegasi Malaysia ke Pesta Buku Frankfurt yang turut disertai oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Indonesia menyertai pesta buku itu sebagai persiapan untuk jadi negara tamu kehormat tahun depan. Pemilihan sebagai tamu kehormat membolehkan sesebuah negara mempunyai ruang pameran yang luas dan menjadi fokus pameran serta terjemahan ke dalam bahasa antarabangsa.

FBF 2014 mengangkat Finland sebagai negara tamu kehormat.

Pesta buku itu adalah yang terbesar dan tertua serta yang paling dihormati di dunia. Ia mempunyai tradisi yang bermula sejak lebih 500 tahun lalu dan bermula tidak lama selepas penciptaan mesin cetak oleh Johannes Gutenberg.