Gergasi media tanah air, Media Prima mengumumkan bakal melaksanakan perkhidmatan penempatan keluar kepada pekerja-pekerja susulan proses penstrukturan semula syarikat itu yang dijangka selesai pada suku pertama 2020.

Media Prima bagaimanapun, memberi jaminan semua kakitangan yang terjejas dengan proses penstrukturan semula itu akan menerima pakej pampasan yang adil.

“Kumpulan akan memastikan kesemua warga kerja yang terjejas ekoran daripada usaha transformasi ini menerima pakej pampasan yang adil dan saksama yang ditetapkan oleh undang-undang serta kesatuan masing-masing yang akan dibayar secara penuh selepas mereka menunaikan segala keperluan perundangan," kata Media Prima dalam kenyataan yang diedarkan pada Jumaat.

Kenyataan media penuh Media Prima

Pengumuman penstrukturan semula dalaman yang dibuat Media Prima bagi membolehkan kumpulan berkenaan lebih berdaya saing dan mampan di masa hadapan berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan lanskap media global.

Baru-baru ini, syarikat akhbar Utusan Melayu menamatkan operasi selepas 80 tahun menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Sementara itu, Media Prima berkata, syarikat itu menjanjikan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar (outplacement) dan kaunseling kerjaya.

Jelas kenyataan itu, syarikat berkenaan bakal melaksanakan transformasi perniagaan yang akan merangkumi perubahan model perniagaannya dan pengstrukturan semula dalaman dengan pelaksanaan penstrukturan dijangka selesai pada suku pertama tahun hadapan.

Media Prima merupakan antara gergasi media tempatan dengan memiliki beberapa stesen televisyen, radio dan akhbar.