Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Sigh Deo menegaskan bahawa media di negara ini tidak dimiliki oleh kerajaan.

Jelasnya, kerajaan memberi sokongan kepada kebebasan media dan berpegang kepada idea itu.

"Pertama sekali, apa yang saya ingin katakan media tidak dimiliki oleh kerajaan. Namun, salah satu perkara yang telah saya dan kerajaan lakukan ialah menjurus kepada menyokong kebebasan media, dan kita berpegang kepada kepadanya," katanya semasa sesi soal jawab pada dialog bertajuk 'Ke Arah Kebebasan Media dan Memerangi Berita Tidak Benar' di Universiti Sunway di sini pada Khamis.

Malah katanya, langkah kerajaan itu juga menjadi antara faktor penyumbang kepada kepada kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.

Pada masa sama beliau mengakui secara realitinya, setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza.

Perbezaan pendapat dan pandangan dari rakyat pelbagai kaum di negara ini diraikan dan boleh membantu melakukan penambahbaikan dalam polisi baharu kerajaan melibatkan isu media sosial.

"Semua orang ada cerita untuk dikongsi dan itu membantu polisi baharu yang akan dicadangkan selepas (penubuhan) jawatankuasa pilihan.



"Ia bukan hanya mengenai kita, tetapi melibatkan semua orang. Kita adalah rakyat berbilang budaya, dan bahasa. Jadi kita perlukan pendekaran ini. Kita perlukan satu perancangan," ujarnya.