Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan negeri Johor dapat membangunkan modul pendidikan yang menggalakkan perpaduan 'Bangsa Johor'.

Baginda berhasrat supaya tiada lagi sekolah Tamil, Cina mahupun Melayu di Johor sebaliknya hanya sekolah satu sahaja aliran, dengan medium pembelajaran berbahasa Inggeris seperti dahulu.

Bagi Ungku Mokhsin Ungku Mohamed, apa yang dipelajarinya dahulu di English College (EC, kini Maktab Sultan Abu Bakar) telah banyak membantunya dalam pengembangan kerjaya.

"Semuanya guna bahasa Inggeris hingga sekarang. Kalau pergi mesyuarat sama ada di Kerteh, Labuan mahupun Kuala Lumpur semua bahasa Inggeris termasuk laporan yang perlu saya sediakan.

"Bukan saya tidak suka bahasa ibunda saya, memang saya sanjung tinggi tetapi bahasa Inggeris adalah medium yang boleh membawa kita ke peringkat global.

"Saya hanya pemerhati politik seperti orang di luar sana, tetapi saya fikirkan sistem pendidikan di negara ini perlu rombakan yang besar," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Majlis Pertemuan Alumni English College (1968-1972) di sini pada Sabtu.

Mereka merupakan antara para pelajar yang melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris - Astro AWANI / Harits Asyraf Hasnan

Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Presiden di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan maritim berpandangan, sistem pendidikan negara perlu beralih semula seperti dahulu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran.

Turut melontarkan pandangan sama adalah Laksamana Pertama (B) Datuk Ahmad Murad Omar.

"Jadi kita di EC, masuk sekolah aliran bahasa Inggeris jadi subjek kita semua bahasa Inggeris, kecuali Bahasa Malaysia.

"Tetapi faedahnya, bila kita bertutur, semuanya berucap dalam bahasa Inggeris dan dalam ucapan pun tiada cacat celanya.

"Ini yang susah kita nak dapat sekarang dalam kalangan anak muda di negara ini dan ia salah satu cabaran anak muda sekarang adalah bahasa Inggeris," katanya.

Jelas Ahmad Murad, penguasaan bahasa Inggeris yang baik telah membantu dalam kerjayanya terutama apabila melibatkan perhubungan antarabangsa.

Bagaimanapun, mereka mahu satu pelan pendidikan yang jitu diwujudkan bukan sahaja melibatkan bahasa, malah kandungan serta modul pengajaran yang seimbang sekaligus mampu memupuk perpaduan.