Melaka akan mendapatkan kembali gelarannya sebagai lokasi yang baik dan strategik di dunia dengan pembinaan pelabuhan laut dalam dan terminal kapal persiaran.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata negeri itu telah berdagang dengan China sejak zaman Kesultanan Melaka dan pada masa itu Melaka merupakan pelabuhan yang penting bagi Asia Tenggara.

"Kini, dengan pemulihan pelabuhan Melaka, kita kembali semula.

"Ini akan memastikan Melaka memperoleh lebih banyak projek dan seterusnya menikmati pertumbuhan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis permeteraian antara KAJ Development Sdn Bhd dan Powerchina International Group Ltd di sini hari ini.

KAJ Development, pemaju utama 'Melaka Gateway', menandatangani perjanjian dengan Powerchina International Group untuk membina tiga pulau yang telah diperuntukkan bagi pembangunan pelancongan, komersial, dan maritim.

Ini sejajar dengan Inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) China. Syarikat Malaysia itu memegang 51 peratus saham dan selebihnya adalah syarikat China.

Liow berkata OBOR akan menjadi ejen perubahan yang membawa kepada pertumbuhan inklusif, penyepaduan ekonomi dan perdagangan serantau.

"Kita gembira dengan pencapaian kita di Malaysia, walaupun kita bukanlah sebuah negara yang besar tetapi Pelabuhan Klang berada di kedudukan ke-12 di dunia dan Tanjung Pelepas berada di kedudukan ke-19," katanya.

Sementara itu, Pengasas/Ketua Pengawai Eksekutif KAJ Development, Datuk Michelle Ong, berkata pembinaan terminal kapal persiaran telahpun bermula.

"Kami mengambil masa dua tahun untuk menjalankan kajian. Penyelarasannya haruslah strategik dan tepat kerana kedalaman laut memainkan peranan yang penting," katanya.

Ong berkata, terminal kapal persiaran di Melaka Gateway dijangka siap pada 2018.

"Terminal tersebut penting kepada negara kita. Ia bakal menjadi yang terbesar di Asia Pasifik. Kami menyasarkan kedatangan satu juta pelancong," katanya.