Melaka bakal memperkenalkan produk baharu, Kupang Manis sebagai usaha menambah pendapatan nelayan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Johari Tim berkata pihaknya kini menunggu kelulusan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum memulakan projek itu di perairan Pernu tahun ini.

"Kita berhasrat untuk menjadikan perairan Melaka sebagai hub kerang-kerangan dan untuk peringkat awal, tumpuan akan diberikan kepada penternakan kupang manis," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Johari berkata usaha itu mendapat sokongan daripada Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hassan Baktee yang menunjukan minat terhadap usaha ini.

Beliau berkata pihaknya telah mendapat peruntukan daripada Jabatan Perikanan Malaysia untuk membawa teknologi penternakan kupang yang baharu iaitu penternakan kupang secara sistem P-Line.

"Pada tahun ini kita akan mulakan konsep penternakan baharu ini bagi menggantikan konsep rak kupang.

"Sistem penternakan baharu ini mampu menghasilkan kupang yang lebih baik dan boleh dijadikan sebagai daya tarikan pelancong ke Melaka," katanya.

Walaupun kos pembinaan P-Line lebih mahal iaitu sekitar RM20,000 ia lebih tahan lama iaitu lebih 10 tahun dan bersih berbanding sistem lama yang dapat bertahan hanya selama dua tahun.

Beliau berkata, nama kupang manis dipilih berdasarkan pujian pengguna bahawa kupang yang ditenak di Melaka adalah lebih manis dan sedap berbanding kupang dari tempat lain.

-- BERNAMA