Melaka merekodkan jumlah kenderaan tertinggi yang cuba merentas negeri pada Khamis dengan jumlah kenderaan sebanyak 886 buah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri lain yang mengikuti Melaka ialah Perak (362 kenderaan) dan Pulau Pinang (284 kenderaan).

“Pihak polis juga telah mengenakan 154 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 264,280 kenderaan.

“Semalam juga, sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau pada masa sama memberi kuasa sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengekang pergerakan rentas negeri termasuk menambah SJR di tempat-tempat tertentu.

Mengulas berkenaan tindakan kerajaan negeri Johor yang tidak menggalakkan pergerakan rakyat termasuk merentas daerah, Ismail Sabri berkata, ia seiring cadangan yang dikemukakan kerajaan Pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).