Catuan bekalan air secara berjadual akan dilaksanakan di Melaka bermula 29 Januari ini melibatkan ketiga-tiga daerah di negeri itu yang menjejaskan sejumlah kira-kira 550,673 penduduk.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, langkah itu diambil susulan paras air di tiga empangan di negeri itu termasuk Empangan Durian Tunggal yang merupakan sumber air bersih kepada kira-kira 60 peratus penduduk di negeri itu terus menunjukkan penyusutan.

Beliau berkata, berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda negara, bekalan air sedia ada di negeri itu hanya mampu bertahan sehingga April.

Jelasnya, ketika ini, Empangan Durian Tunggal berada pada paras 38.5 peratus, Empangan JUS 34.5 peratus dan Empangan Asahan 56.3 peratus.

Beliau berkata, Kaedah Air Berjadual yang melibatkan 60 peratus pemegang akaun Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) itu akan dilaksanakan mengikut kaedah harian secara berselang-seli.

"Bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga peralihan monsun, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk melaksanakan Bekalan Air Berjadual bermula 29 Januari 2020, hari Rabu minggu hadapan di semua kawasan Zon 1 yang meliputi 62.8 peratus di negeri Melaka.

“Iaitu sebahagian besar Daerah Melaka Tengah dan beberapa kawasan di daerah Alor Gajah serta Jasin. Ia melibatkan kira-kira 550,673 orang penduduk dimana Bekalan Air Berjadual ini tidak menjejaskan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Coffee Break sempena Tahun Baharu Cina di Ayer Keroh hari ini.

Mengulas lanjut ujar Adly, maklumat berkenaan pelaksanaan Bekalan Air Berjadual ini akan dikendalikan oleh SAMB dan orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat melalui pejabat daerah masing-masing, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta hebahan melalui media.

Katanya, kerajaan telah menjalankan beberapa inisiatif untuk menyelesaikan isu air ini termasuklah melalui usaha mendapatkan air daripada negeri berhampiran seperti Negeri Sembilan dan Johor.

Pihaknya juga akan mempertimbangkan meneruskan kerjasama dengan syarikat konsesi air dari negeri-negeri jiran untuk mendapatkan bekalan air melalui lori tangki selain sewaan daripada syarikat-syarikat swasta bagi memenuhi keperluan bekalan air di kawasan terjejas.

Tambahnya, Melaka sebelum ini mengepam 35 juta gelen air sehari dari Sungai Gersik, Johor dan jumlah itu ditingkatkan kepada 47 juta gelen sehari.

Kerajaan negeri juga akan meneliti semula perjanjian air Sungai Muar dengan Kerajaan Negeri Johor bagi mendapatkan kelulusan tambahan kapasiti pembelian air mentah dari Johor ke Melaka.