Kerajaan Negeri Melaka telah menyediakan pelan jangka sederhana dan panjang bagi menangani gangguan bekalan air di negeri ini khususnya pada musim kemarau dan untuk masa akan datang, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata antara pelan jangka sederhana, kerajaan negeri telah memuktamadkan tender projek pembinaan Tasik Biru di Chinchin, Jasin dekat sini bernilai RM35 juta dan ia dijangka siap pada awal tahun hadapan.

Katanya tasik berkenaan yang merupakan bekas lombong terbiar itu dijangka dapat mengepam sehingga 200 juta liter air sehari ke Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dekat sini.

"Kita jangkakan sekitar 24 Okt ini akan mulakan kerja-kerja pemasangan paip dari Tasik Biru ke Empangan Durian Tunggal dan usaha itu akan dapat menangani gangguan bekalan air di negeri ini bagi tempoh terdekat.

"Bekas lombong itu mempunyai kedalaman yang cukup untuk menampung sejumlah air yang banyak bagi keperluan air di Melaka terutama pada musim kemarau seperti yang berlaku sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2019 di Masjid As-Syuhada di Kem Terendak pada Rabu.

Majlis berkenaan bermula dengan solat Maghrib dan disusuli dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sebelum Solat Isyak secara berjemaah yang diimamkan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Mengulas lanjut, Adly berkata bagi projek pembinaan Empangan Sungai Jernih di Alor Gajah yang melibatkan kos sebanyak RM270 juta, sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan pusat sebelum proses tender dibuka pada hujung tahun ini.

Beliau berkata projek yang di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli itu dijangka bermula paling awal pertengahan tahun hadapan dan isu pengambilan tanah serta sempadan telah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, katanya beberapa pelan jangka pendek sedang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad termasuk pembelian air mentah dari Johor dan bekalan air bersih dari Negeri Sembilan.

"Johor memberi kita ruang untuk membeli bekalan air mentah sehingga 270 juta liter sehari yang diambil dari Sungai Gersik untuk disalurkan ke Empangan Durian Tunggal selain bekalan air bersih dari Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji model pengurusan air negeri ini yang banyak bergantung pada sumber hujan sejak dahulu lagi dan ia perlu diurus bagi mengatasi banjir.

"Air hujan yang melimpah sehingga mengakibatkan banjir boleh dialirkan ke empangan sedia ada bagi menampung keperluan selain mengatasi isu banjir di Melaka," katanya.

-- BERNAMA