Tutup

Melaka wujud variasi pakej pelancongan tarik pelancong - Exco

Melaka wujud variasi pakej pelancongan tarik pelancong - Exco
Pakej pelancongan yang akan memperkenalkan keunikan budaya dan warisan Melaka dijangka dapat ditawarkan kepada pelancong dalam tempoh enam bulan akan datang. - Gambar hiasan
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan variasi pakej pelancongan menarik pada harga berpatutan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka pada tahun depan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Muhammad Jailani Khamis berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai operator pelancongan dan syarikat swasta di negeri ini.
"Kita sedia maklum bahawa Melaka mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik namun ada pelancong yang belum mengetahui tentang kewujudan tempat berkenaan.

"Jadi melalui inisiatif mewujudkan pakej pelancongan ini nanti, pelancong boleh melawat destinasi menarik berkenaan pada harga berpatutan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Terdahulu, beliau menyaksikan Persembahan Penyelaman Khas sempena Hari Raya Aidilfitri dan Piala Dunia FIFA 2018 di The Shore Ocenarium di sini. Turut hadir Pengarah Urusan The Shore Oceanarium Melaka, Chew Chert Fong.

Muhammad Jailani berkata pakej pelancongan yang akan memperkenalkan keunikan budaya dan warisan Melaka dijangka dapat ditawarkan kepada pelancong dalam tempoh enam bulan akan datang.

Beliau berkata pakej pelancongan itu terdiri daripada pakej keluarga, pakej persendirian dan pakej bulan madu untuk pasangan baharu berkahwin.

"Kita juga yakin melalui pakej pelancongan ini nanti sasaran menarik 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 dapat dicapai," katanya.

Mengenai Tahun Melawat Melaka 2019, beliau berkata operator sektor pelancongan di negeri ini turut diminta menambah baik fasiliti, tarikan atau perkhidmatan yang ditawarkan agar dapat menarik kedatangan pelancong ke Melaka.

Sementara itu, Chew berkata satu terowong akan dibina dalam The Shore Oceanarium untuk memberi nilai tambah baharu pada destinasi pelancongan keluarga yang telah beroperasi sejak 2014.

Beliau berkata terowong yang belum dimuktamadkan panjangnya itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dengan jumlah pelaburan RM3 juta hingga RM5 juta.

-- BERNAMA