Kerajaan negeri yakin sasaran 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 mampu dicapai berdasarkan bilangan kira-kira 18 juta pengunjung ke Melaka dicatatkan hingga suku ketiga tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, jumlah sedia ada menunjukkan sasaran tahun ini berada di landasan tepat dan pihaknya percaya angkaitu dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini.

"Kita masih ada tempoh lima bulan untuk mencapainya, namun satu kejayaan juga kita telah melepasi jumlah kunjungan pelancong ke negeri ini tahun lalu iaitu sebanyak 17 juta pengunjung.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mempromosikan sektor pelancongan dengan lebih agresif seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan 30 juta pelancong.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Melaka Food Festival 2019 dan 'Visit Truly Asia Malaysia 2020' peringkat negeri di Jalan Kota, Banda Hilir di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, antara usaha dilaksanakan ialah mengadakan program pelancongan dan lawatan ke luar negara antaranya ke Chengdo dan Beijing di China, Macau, Jepun selain London dan Jerman untuk mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan.

-- BERNAMA