MALAYSIA satu ketika dahulu pernah dikenali sebagai ‘Harimau Asia’ kerana kekuatan ekonominya di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Namun status gemilang itu dilihat semakin kusam dan memerlukan tindakan segera untuk menggilapnya semula.

Biarpun berdepan tugas sukar, keyakinan Dr Mahathir yang kembali memegang tampuk pemerintahan tidak pernah luntur bahawa Malaysia mampu kembali mengaum sebagai Harimau Asia.

Dalam usaha menggapai kembali visi negara, tokoh-tokoh negara akan berhimpun dalam satu konvensyen bagi membincangkan hala tuju negara.

Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia (KKHA) bakal menghimpunkan tokoh-tokoh tersohor tanah air terdiri daripada nama-nama besar di dalam sektor awam dan swasta, selain badan bukan kerajaan (NGO), institusi, pelajar dan juga orang awam.

Konvensyen yang dijadual diadakan pada Isnin ini bakal dirasmikan sendiri oleh perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara panel jemputan ialah Profesor di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Murad Merican; Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governas, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff; dan Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar.

Mereka akan bersama-sama berganding bahu dalam melakar hala tuju negara daripada segi ekonomi, politik, sosial ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara Harimau Asia.

Konvensyen yang dijadual berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bermula jam 8 pagi hingga 11 malam.

BACA: Ayuh! Bangkit sekali lagi sebagai Harimau Asia - Tun M

Jangan lupa bersama kami untuk bersama-sama menyelami aspirasi beliau membawa Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati rakan dan lawan.