Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru orang Melayu Islam di Malaysia ini untuk bersatu sekiranya mahu terus mentadbir negara.

Beliau berkata, walaupun orang Melayu Islam merupakan majoriti di negara ini namun kaum ini dilihat berpecah kerana wujudnya beberapa parti politik mewakilinya seperti UMNO, PAS dan PKR.

"Orang Melayu bukan berpecah kerana agama tetapi kerana politik. Agama Islam dijadikan modal untuk mendapat sokongan rakyat atau memancing undi. Terdapat usaha agar rakyat menolak parti lain kerana parti itu dilihat sebagai bukan Islam," katanya dalam ucapan pada forum Penyatuan Melayu dan Isu Semasa Negara yang dianjurkan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini malam tadi.

Tun Mahathir
Tun Mahathir disambut hadirin ketika menghadiri forum Penyatuan Melayu dan Isu Semasa Negara pada Ahad. - Foto Astro AWANI/Syafique Shuib

Tun Mahathir turut memberikan contoh di Timur Tengah dimana kuasa besar Barat dan kaum Yahudi cuba memecahbelahkan umat Islam di sana.

"Kuasa besar yang membekalkan mereka dengan duit dan senjata untuk mengguling kerajaan mereka. Penyembelihan orang Islam dilakukan orang Islam sendiri. Mereka diperalat oleh mereka (kuasa besar) untuk memecahbelahkan orang Islam.

"Kini, kuasa kerajaan mereka tidak stabil," kata beliau di hadapan lebih kurang 150 orang yang hadir.

Tun Mahathir turut berkata prestasi UMNO dilihat semakin merosot, dan sekiranya prestasi ini tidak dapat ditingkatkan maka parti itu akan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Kita akan kalah. Sekarang UMNO nak dikalahkan. Kalau kita kalah saya khuatir ia adalah kali terakhir usaha UMNO untuk menjaga orang Melayu beragama Islam.

"Kalau PKR menang, mereka dipengaruhi DAP. PAS pula... mereka tidak mungkin dapat melaksanakan hukum Hudud," katanya.

Tun Mahathir turut berkata golongan belia dan generasi muda harus memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan perpaduan Islam di Malaysia.

"Kita perlu bela nasib orang Melayu. Saya tahu mereka lemah. Dapat sogok duit sikit, mereka terima sahaja. Ini negara kita. Jika kita terima duit, kita serahkan kuasa kepada orang yang memberikan kita duit.

"Jaga maruah kita agar kita jangan mudah dibeli," akhiri Tun Mahathir dalam ucapannya.