Memandu di tapak jualan, wanita dakwa diserang di bazar Ramadan

Memandu di tapak jualan, wanita dakwa diserang di bazar Ramadan
Klip video tular di laman sosial Facebook sejak Khamis malam menunjukkan seorang wanita berang selepas diserang sekumpulan lelaki dipercayai peniaga dan pengunjung. Foto media sosial
KOTA BHARU: Seorang wanita berdepan detik cemas pada Khamis susulan keretanya didakwa dirosakkan orang awam dan peniaga ketika melalui sebatang jalan yang dijadikan tapak jualan bazar Ramadan.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, wanita berusia 40 tahun itu mengakui mengalami kerugian RM5,000 apabila cermin kereta dan kenderaan yang dipandunya pecah dan rosak.

Dia ketika itu menaiki kereta bersama adik dan dua anaknya, apabila kenderaan jenis Toyota Camry itu didakwa telah ditendang dan dipukul dengan kayu serta besi oleh beberapa lelaki di jalan hadapan Bazar Buluh Kubu, di sini.

Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud, yang memberitahu media, sebelum kejadian, mangsa baru keluar parkir sebuah pasar raya.

Menurutnya, mangsa telah meminta kepada peniaga supaya mengalihkan meja serta barang jualan kerana mahu melalui jalan berkenaan.
Dia kemudiannya melalui jalan terbabit sebelum keretanya ditendang beberapa lelaki yang berang kerana melalui jalan yang dijadikan tapak jualan.

“Bagaimanapun, wanita itu meneruskan perjalanan dan ketika melalui sebuah kedai makan berhampiran pasar raya, keretanya ditendang lagi oleh beberapa lelaki.

“Wanita itu meneruskan perjalanan kerana bimbangkan keselamatan dirinya. Dan ketika di lampu isyarat berhampiran, keretanya sekali lagi terhalang oleh peniaga dan orang ramai di kawasan itu.

"Mangsa berhenti dan keluar dari kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali yang memecahkan cermin bahagian belakang kereta dengan kayu dan besi," katanya.

Terdahulu, klip video berdurasi 1 minit 33 saat tular di laman sosial Facebook sejak Khamis malam menunjukkan seorang wanita berang selepas diserang sekumpulan lelaki dipercayai peniaga dan pengunjung.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, adik perempuan mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan apabila anggota polis yang kebetulan meronda di kawasan itu tiba, beberapa lelaki melarikan diri.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke balai polis berhampiran.

“Susulan kejadian itu, polis menahan peniaga berusia 26 tahun untuk siasatan lanjut.

“Kita masih mengesan beberapa lelaki yang masih bebas dipercayai turut terbabit dalam kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya.