Mahkamah Sesyen Tawau pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan denda RM39,000 terhadap seorang wanita atas dua pertuduhan menyebabkan kematian empat lelaki dan seorang cedera, di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, 8 Julai tahun lalu.

Hakim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Olivia Chong Oi Yun, 35 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Olivia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM20,000 manakala bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM19,000.

Hakim turut menetapkan kedua-dua hukuman dijalankan secara berasingan bermula Khamis dan dikenakan penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Olivia melakukan perbuatan itu di Jalan Chong Thien Vun di depan Pusat Komersil BDC (1 Arena) pada pukul 1.20 pagi, 8 Julai 2018 dan didapati tahap alkohol dalam darah melebihi had yang dibenarkan hingga menyebabkan kematian empat individu.

Mereka yang maut adalah Hiew Nyuk Wei, 30 tahun, Clawence Wong Vun Kit, 21 tahun, Dicson Lim Kien Shing, 16 tahun, dan Chong Wei Chan, 21 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan perbuatan yang sama hingga menyebabkan kecederaan kepada Chin Guan Xiong, 21 tahun.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.