Penduduk Kampung Baru kini disifatkan berada dalam ketakutan selagi kerajaan tidak memberi perincian terhadap pembangunan kawasan tersebut.

Bagaimana tidak, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi memberitahu, pihak berkaitan termasuk Perbadanan Kampung Baru (PKB) masih tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai pembangunan yang dikatakan akan dilakukan segera itu.

"Apa yang diceritakan dan apa yang dilaksanakan berbeza sangat. Bagaimana mereka minta kita tidak bimbang sedangkan pembangunan itu melibatkan kediaman kami?

"Di mana kita hendak tinggal jika pembangunan yang hendak dilakukan itu memerlukan kami untuk berpindah? Buktikan siapa yang berada di dalam senarai 90 peratus setuju untuk pembangunan ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shamsuri mengulas kenyataan Timbalan PNB, Datuk Seri Matshah Safuan di dalam slot Agenda AWANI pada Rabu yang meminta penduduk Kampung Baru tidak bimbang mengenai pembangunan kampung tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan meminggir atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan.

Kata Muhyiddin, ini kerana penggubalan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) sebelum ini melibatkan proses yang ketat serta melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik dan pewaris tanah.

Dalam pada itu kata Shamsuri, beberapa badan yang tidak berkenaan dengan pembangunan Kampung Baru kini dilihat cuba menunjuk pandai dan memberi versi berlainan dengan kemahuan penduduk.

"Ada beberapa persatuan yang tidak ada harta atau kena mengena dengan Kampung Baru turut cuba menonjol diri dan mahu campur tangan dengan isu ini.

"Sudahlah tidak ada kena mengena, mereka ini mahu menjadi 'hero' dan memberitahu seolah-olah mereka mewakili penduduk di sini, jangan berlakon kerana kita tahu mereka tidak ada apa-apa hak terhadap tanah Kampung Baru," ujarnya.

Shamsuri juga tidak menolak kemungkinan akan menghantar memorandum kepada kerajaan mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.

"Tanah Kampung Baru ada pemilik individu dan bukannya tanah Kerajaan. Tidak ada pihak boleh mengambil tanah-tanah ini dengan Akta Pengambilan Tanah kerana ia tidak boleh diguna pakai di dalam situasi ini," jelasnya.

Sementara itu, Pemula Runding Pemilik Tanah Kampung Baru, Shahariah Sabarudin melahirkan rasa kesal dan menyifatkan PKB cuba mengelirukan rakyat negara ini dengan peratusan penduduk yang bersetuju dengan pembangunan tersebut.

"PKB mempunyai agenda peribadi di sebalik isu ini. Jika berani tolong senaraikan siapa di antara 90 peratus itu yang bersetuju.

"Pamerkan senarai nama itu di pejabat PKB atau akhbar segera. Apa yang dibuat PKB hanya mengaburkan mata masyarakat. Hakikatnya penduduk mahu pembangunan tetapi bukan pelan yang diberi baru-baru ini," jelasnya.

Tegas Shahariah lagi, kerajaan atau PKB juga harus memaklumkan berapa nilai untuk satu kaki persegi tanah di Kampung Baru sebelum mengumumkan sebarang pembangunan susulan.

"Tidak payah cakap mengenai pembangunan Kampung Baru. Nilai tanah pun tidak dimaklumkan, pembangunan juga tidak mengikut identiti Melayu," katanya.

Sebelum ini, Shahariah meminta kerajaan untuk menetapkan nilai bagi satu kaki persegi tanah di Kampung Baru sekali gus menjawab persoalan pemilik tanah yang didakwa ditawar harga jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran di penempatan orang Melayu itu.