Memberi nafas baharu kepada perpaduan

Memberi nafas baharu kepada perpaduan
Peralihan kepada Malaysia baharu tidak memadamkan aspirasi utama negara dan kerelevenan integrasi dan perpaduan nasional.- Gambar AFP / Manan Vatsyayana
INTEGRASI nasional dan perpaduan merupakan dua aspek pembangunan negara yang tertanam dalam falsafah negara sejak kemerdekaan. Laungan perpaduan berkumandang dan menjadi hasrat utama negara diiringi dengan usaha berterusan untuk mengekalkannya. Rancangan menyatupadukan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya diselenggarakan menerusi dasar dan pelan kerajaan. Rakyat Malaysia diyakinkan bahawa tanggungjawab memupuk integrasi nasional dan perpaduan terletak pada setiap individu dan komuniti yang mereka wakili.

Peralihan kepada Malaysia baharu tidak memadamkan aspirasi utama negara dan kerelevenan integrasi dan perpaduan nasional kini muncul kembali, lebih-lebih lagi apabila berlaku peristiwa yang mengancam penyatuan di dalam komuniti-komuniti tertentu. Kesejahteraan dan kemakmuran negara berlandaskan rakyat yang bersatu padu menangani segala cabaran yang akan memanfaatkan pembangunan.

Walaubagaimanapun, perpaduan yang tidak berbelah bagi atau “absolute unity” memang sukar dicapai di mana-mana pun, malah ia mustahil dikecapi memandangkan hakikat bahawa kemanusiaan terdiri daripada kepelbagaian unsur dalam masyarakat manusia.  Lebih munasabah jika “perpaduan” itu dilihat sebagai satu slogan yang mewakili konsep abstrak dalam idealisme nasional.

Yang dapat dialami seketika menerusi rancangan perpaduan kerajaan seperti sambutan ulang tahun Merdeka atau Hari Nasional pada tahap kebangsaan; atau majlis seperti rumah terbuka Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari Gawai dan lain lain lagi pada tahap komuniti ialah penyatuan masyarakat secara luaran. Yang diperhatikan di majlis-majlis tersebut ialah integrasi rakyat yang datang beramai-ramai untuk meraikan sesuatu perayaan.

Integrasi dan kepaduan (cohesion) rakyat boleh dipupuk dengan jayanya menerusi pelan kemasyarakatan yang pragmatik di mana komuniti-komuniti tertentu diberi peluang bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama seperti keselamatan dan kesihatan, pendidikan dan perkerjaan serta kegiatan ekonomi yang mengesyorkan kebahagian dalam hidup harian mereka.
Untuk menghalusi kesefahaman antara kaum yang menyatupadukan rakyat pada tahap yang lebih kekal, yang harus dipergiatkan lagi ialah usaha membina dan membangunkan sistem nilai sejagat yang dikongsi oleh semua rakyat berbilang etnik dan sosio-budaya. Selain sistem nilai antara agama dan sistem kepercayaan, seni dan budaya memainkan peranan penting dalam membentuk identiti, harga diri dan kebanggaan sesuatu kaum yang elok dikongsi bersama dengan kaum-kaum lain.  Amat penting ia dijadikan asas pengetahuan dan ilmu yang saling memanfaatkan rakyat yang hidup bersama.

Kesedaran tentang pentingnya integrasi dan kepaduan nasional untuk membentuk masyarakat berbilang etnik, agama dan budaya yang benar-benar menjiwai aspirasi negara, perpaduan perlu diberi nafas baharu menerusi konsep harmoni-mesra, iaitu hubungan muhibah bersama yang membawa kepada kerjasama pada tahap-tahap tertentu.

Hasrat untuk membantu kerajaan dalam usaha memberi pengertian yang tulen dan menyeluruh kepada idealisme perpaduan, mendorong beberapa pergerakan sivil menjalankan initiatif masing-masing. Satu daripadanya ialah Dialog Rakyat yang merupakan gabungan sepuluh organisasi sivil. Gabungan ini ditubuhkan dengan objektif memupuk integrasi nasional menerusi nilai-nilai kemasyarakatan bagi membentuk komuniti bersatu dan harmoni-mesra.

Selama tiga tahun kebelakangan ini, Dialog Rakyat berjaya menerokai beberapa golongan sasaran untuk membina komuniti bersatu berlandaskan hubungan mesra di dalam dan antara komuniti-komuniti tersebut. Komuniti-komuniti yang diberi perhatian utama termasuk kawasan perumahan, persatuan penduduk, persatuan belia, institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Initiatif yang diberi branding Harmoni-Mesra, Saling Hormati merupakan usaha kolaborasi antara Dialog Rakyat dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan membangkitkan semangat baharu dalam usaha memperkukuhkan integrasi dan perpaduan nasional di sekolah. Sistem nilai yang menumpu kepada nilai-nilai utama seperti saling hormati,  silaturrahim, amanah dan jujur antara satu sama lain akan dibina secara menyeluruh di persekitaran sekolah antara warga komuniti sekolah.

Pergerakan Harmoni-Mesra, Saling Hormati menyokong amanat Menteri Pendidikan di mana tiga nilai teras diutamakan dalam pendidikan pelajar di sekolah, iaitu saling menghormati, cinta dan bahagia. Jalinan ketiga-tiga nilai tersebut di dalam satu pergerakan harmoni-mesra bakal membentuk pelajar yang menghargai keamanan dan kesejahteraan bukan sahaja dalam komuniti sekolah mereka, malah dalam masyarakat luar dan negara yang mereka cinta.

Dengan membangkitkan semula slogan-slogan penyatuan nasional yang sedia ada dalam kurikulum pendidikan negara serta memperkukuhkan peraturan dan kod etika untuk komuniti sekolah termasuk ibubapa, pergerakan Harmoni-Mesra, Saling Hormati boleh memperkenalkan strategi baharu berlandaskan perkembangan baharu dalam falsafah pendidikan negara serta dasar dan pelan pendidikan yang dibina.

Setiap sekolah harus meninjau semula peraturan-peraturan yang sedia ada dan menyesuaikannya dengan Kod Etika masing-masing untuk dipatuhi oleh ahli-ahli mereka.  Kelakuan baik setiap warga sekolah akan membentuk komuniti besar sekolah yang harmoni dan beretika.

Salah satu daripada strategi yang berkesan ialah menggabungkan usaha guru dan ibubapa menerusi Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) dalam aktiviti ko-kurikular seperti sukan dan seni. Aktiviti ko-kurikular sebegini bukan sahaja menambah kepada ilmu dan maklumat dalam bidang tersebut, malah membawa keseronokan dan kebahagian mengenali sosio-budaya masing-masing.

Dari sudut pendidikan pelajar, amat penting bahawa ibubapa dan guru saling berkerjasama bagi meyakinkan dan mendorong anak-anak muda untuk memperluaskan lagi pengetahuan dan Ilmu tentang komuniti dan dunia luar.

Dari segi struktur implementasi pelan pergerakan Harmoni-Mesra, Saling Hormati, sokongan daripada pihak pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia amat penting termasuk pengurusan tertinggi, bahagian kementerian pendidikan tertentu seperti  Pejabat Pendidikan Negeri dan Daerah,  lebih-lebih lagi pegawai pelajaran masing-masing,  pengurusan sekolah, guru, ibubapa  dan pelajar sendiri.

Sokongan padu daripada Menteri Pendidikan amat penting bagi menjayakan pergerakan Harmoni-Mesra, Saling Hormati di kalangan pelajar, guru dan pendidik termasuk ibubapa. Ia bakal dijadikan tambahan kepada falsafah negara yang dibanggakan oleh komuniti-komuniti  serta seluruh rakyat Malaysia.


* Dato' Halimah Mohd Said ialah Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: perpaduan, kemerdekaan, hari kebangsaan, perpaduan kaum, 13 mei, PIBG, guru, integrasi nasional, Kolumnis AWANI


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.