Tutup

Memelihara warisan, capal dan tanjak tarik minat golongan muda

Memelihara warisan, capal dan tanjak tarik minat golongan muda
Pemakaian capal dan tanjak semakin mendapat sambutan dan mula menular khususnya dikalangan anak muda. - Astro AWANI/Sallehin Hussain
KUALA TERENGGANU: Capal dan tanjak untuk dipadankan dengan baju melayu menjadi trend anak muda di Terengganu untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Walaupun kemuncak populariti busana tradisional melayu itu telah menjangkaui zaman, sambutannya masih hangat terutama menjelang musim perayaan.

Pemakaian capal itu dilihat semakin mendapat sambutan dan mula menular khususnya dikalangan anak muda di negeri Terengganu.

Beberapa pembeli yang ditemui berkata memakai capal pada zaman ini mempuyai nilai sentimental dan keunikan yang tersendiri.
Menurut mereka, lazimnya anak muda lebih gemar untuk memakai pakaian yang lebih moden dan hampir lupa dengan pakaian warisan itu.

“Pakaian tradisional ini menjadi lambang asal Melayu. Memang kita tak malu menggayakan capal ini kerana ia seperti selipar tetapi lebih unik lagi daripada selipar biasa,” jelas kakitangan kerajaan Wan Taufik Wan Endon.

Kanak-kanak dilihat selesa memakai pakaian tradisional Melayu sambil bermain. - Astro AWANI/Sallehin Hussain

Buat Mohd Asyraf Mohd Omar, seorang pelajar, dia gemari memakai capal kerana ia merupakan pakaian klasik yang dipakai masyarakat zaman dahulu.



Sementara peniaga Mohd Ghazali Kori berkata, dia memilih untuk menjual capal dan tengkolok ini bagi mengangkat kembali busana orang terdahulu.

Jelasnya idea itu timbul selepas melihat rakan-rakannya memakai capal dan tanjak biarpun pada hari biasa.


Pakaian trasional Melayu sering dipilih sebagai pakaian untuk menyambut Aidilfitri. - Astro AWANI/Sallehin Hussain

Minat terhadap pakaian trasional Melayu harus dikekalkan terutamanya di kalangan golongan muda. - Astro AWANI/Sallehin Hussain

“Kita cuba untuk mengangkat balik pakaian busana Melayu kerana pada zaman dahulu, pakaian ini sangat popular dikalangan rakyat mahupun golongan istana.

“Kini kita mahu cuba menarik minat golongan muda untuk menyarung kembali pakaian ini dan jadikannya sebagai pakaian rasmi untuk digunakan setiap hari,” katanya.

Menurut Mohd Ghazali sepanjang Ramadan, sebanyak 200 pasang capal telah dijual.

Dia telah mengusahakan jualan itu sejak sembilan tahun lalu bersama abangnya dan kini bercadang untuk memperhebatkan lagi jualan untuk tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan sahaja.





Tag: capal, tanjak, Ramadan, Aidilfitri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.