Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Memperbetul tafsiran kadar produktiviti buruh mengikut pandangan ahli ekonomi

Memperbetul tafsiran kadar produktiviti buruh mengikut pandangan ahli ekonomi
Wujud kecelaruan dalam membuat perbandingan antara kadar upah per jam dan produktiviti oleh segelintir pihak. - Gambar fail
PERBADANAN Produktiviti Malaysia (MPC) dalam Laporan Produktiviti Nasional 2020 yang diumumkan beberapa hari lepas menunjukkan peningkatan sumbangan produktiviti kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus pada 2019.

Laporan yang sama juga menyebut peningkatan produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja sebanyak 2.2 peratus daripada RM39.7 per jam pada 2018 kepada RM40.6 per jam pada 2019.
Tafsiran kepada perangkaan yang dikeluarkan dalam laporan ini memerlukan kepada pemahaman yang jelas berkenaan dengan maksud produktiviti itu sendiri dan kaedah pengukuran yang digunakan.

Perkara ini diutarakan oleh penulis kerana wujud kecelaruan dalam membuat perbandingan antara kadar upah per jam dan produktiviti oleh segelintir pihak.
Ada pendapat yang menyatakan pekerja di Malaysia terlalu rendah kadar upah per jam yang dibayar. Pengiraan dibuat dengan kaedah berikut: RM1,200 / 26 hari / 8 jam = RM5.77 per jam. Pengiraan ini hanya mengambil kira upah minimum sebagai asas.

Perbandingan ini tidak tepat kerana dua alasan.

Pertama, produktiviti berjumlah RM40.6 per jam pada tahun 2019 bukanlah indikator kepada kadar upah. Ianya menilai jumlah output pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang boleh dihasilkan oleh seorang buruh bagi setiap jam bekerja.

Untuk memudahkan pemahaman mari kita ambil contoh mudah berikut:

Harga sebuah kerusi di kilang adalah RM40.6 sebuah dan seorang pekerja mampu menyiapkan sebuah kerusi selama sejam. Jadinya, produktiviti seorang buruh setiap jam untuk pengeluaran sebuah kerusi adalah RM40.6.

Nilai RM40.6 di sini adalah harga jualan di kilang yang mana penetapan harga tersebut telah pun mengambil kira kos pekerja sejam dan kos bahan mentah untuk sebuah kerusi.

Kedua, perbandingan kadar upah hanya bersandarkan kepada penanda aras upah minimum sebanyak RM1,200 adalah tidak tepat kerana ia tidak menunjukkan pembayaran sebenar ke atas buruh.

Sepatutnya, kadar upah setiap jam dikira dengan mengambil kira kadar upah sebenar yang dibayar kepada pekerja. Mengikut pengiraan penulis, kadar upah purata untuk seorang buruh pada tahun 2019 adalah sebanyak RM11.8 sejam. Kadar ini telah meningkat sebanyak 5.9% berbanding tahun 2018 iaitu RM11.1 sejam.

Walau bagaimanapun, perlu juga ditegaskan di sini bahawa kadar produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja dan kadar upah yang dikira hanya memberi gambaran purata atau mudahnya “helicopter view”.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar, perangkaan tersebut perlu diperinci mengikut sektor ekonomi, mengikut negeri dan kawasan, dan mengikut pecahan kumpulan sosio-ekonomi buruh.

Mungkin peningkatan kadar produktiviti dan kadar upah hanya dinikmati oleh sebahagian buruh di sektor tertentu dan di kawasan tertentu sahaja.



* Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Tag: KDNK, ekonomi, Malaysia, Nilai, Mohd Yusof Saari, kadar produktiviti buruh



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.