Kemenangan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Isnin dalam semua lima permohonan interlokutori kes saman fitnah ke atas Sarawak Report di Mahkamah Tinggi London telah mengembalikan maruah parti itu.

Demikian menurut Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang mengesahkan bahawa pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, telah diperintahkan untuk membayar sebanyak 28,900 pound iaitu kira-kira RM156,000 kepada Abdul Hadi.

BACA: Sarawak Report diarah bayar RM155,000 pada Hadi

"Ini merupakan satu kemenangan yang sangat bermakna kepada bukan sahaja peribadi Tuan Guru Abdul Hadi tetapi kepada Pas itu sendiri, setelah sekian lama maruah dan harga diri Pas cuba dicemarkan oleh pihak-pihak tertentu dengan tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal.

"Dan terlebih-lebih manis lagi, kemenangan ini disambut atau diterima saat kita menghadapi pilihan raya umum yang ke-14 (PRU14), di mana semua parti-parti lawan menggunakan isu ini untuk menjatuhkan reputasi Pas dan menghakis kepercayaan rakyat kepada Pas.

"Jadi, ternyata Maha Suci Allah, kita telah menerima berita kemenangan ini dan kita harap rakyat kembali memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Pas dan sekali gus makin tinggilah tahap keyakinan rakyat dan sokongan rakyat kepada Pas," katanya.

Nasrudin berkata demikian kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama calon Parlimen P082 Indera Mahkota dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Beserah, di kampung Chendor Sempadan malam tadi.

Nasrudin merupakan calon Pas bagi Indera Mahkota yang ditentang calon Barisan Nasional Datuk Dr Johan Mat Sah dan Datuk Saifuddin Abdullah, calon PKR.

Sementara di DUN Beserah, Andansura Rabu dari Pas turut berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Zulkifli Mohamed dari PKR dan Suhaimi Jusoh @ Sulong dari BN.

Abdul Hadi memfailkan saman pada April 2017 berhubung artikel yang ditulis oleh Rewcastle-Brown bertajuk "As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections" yang disiarkan portal asing itu pada 6 Ogos 2016.

Dia mendakwa RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Presiden Pas itu bagi mendorong untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN.

Hakim Mahkamah Tinggi London menetapkan tarikh untuk perbicaraan penuh kes bermula 1 hingga 12 April 2019.