KERAJAAN telah memberi masa selama tiga bulan kepada majikan untuk menyediakan tempat tinggal dan keadaan hidup yang sesuai untuk pekerja migran di semua sektor.

Perkara itu seiring dengan apa yang diperuntukkan di bawah pindaan yang diluluskan oleh Parlimen pada bulan Julai tahun lalu ke atas Akta Piawaian Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja, 1990.

Asalnya, penguatkuasaan Akta 446 dijadualkan pada 1 Jun ini tetapi telah diperpanjangkan hingga 1 September untuk memberi ruang kepada majikan membuat persiapan yang diperlukan.

Desakan untuk menguatkuasakan undang-undang ini juga dalam masa sama telah diketengahkan memandangkan keperluannya untuk meratakan lekuk COVID-19 secepat dan seefektif yang mungkin.

Antara lain, akta ini menetapkan standard minimum untuk tempat tinggal pekerja.

Pada masa ini, pekerja asing mengalami kesulitan iaitu mereka ditempatkan dalam sebuah kediaman yang sesak serta tidak mempunyai kemudahan asas.

Para majikan pada prinsipnya menyambut baik peruntukkan baharu itu tetapi meminta masa penangguhan selama enam bulan untuk dipatuhi, namun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mahu penguatkuasaan dilaksanakan dengan segera.

Dalam masa sama, kebimbangan golongan majikan (terutamanya syarikat pembinaan) adalah munasabah iaitu aspek keselamatan dan kesihatan pekerja perlu diberi perhatian utama dan tidak boleh dikompromikan lagi lebih-lebih lagi kerana penularan pandemik COVID -19 dan pencegahannya.

Sekalipun, tercetus perbezaan pandangan, namun, pasti ada jalan tengah untuk mencapai kesepakatan atau tolak ansur antara satu sama lain.

Justeru, cara terbaik untuk mencapai situasi menang-menang adalah dengan semua pihak yang berpentingan duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian kemelut ini.

Majikan mempunyai waktu yang cukup sejak September tahun lalu ketika pindaan diwartakan untuk mematuhi peruntukkan baharu sementara para pekerja pula cukup sabar untuk menunggu.

Lalu, sekarang merupakan masa terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ini adalah kepentingan jangka panjang majikan agar dapat melihat COVID-19 berakhir secepat mungkin.

Sekiranya virus ini kembali menular, ia hanya akan mengganggu aktiviti pembinaan sekali gus menyebabkan lebih banyak kerugian dan kesusahan bagi majikan.

Majikan juga akan diberi ganjaran dari segi produktiviti yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja sekiranya mereka dilindungi dan keadaan hidup mereka bertambah baik.

Di samping menyelesaikan standard minimum perumahan dan kemudahan lain untuk pekerja asing, apa yang penting juga adalah pekerja-pekerja dididik tentang cara menjaga kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, terutama yang berkaitan dengan penjarakan sosial atau fizikal dan memakai topeng muka.

Keadaan COVID-19 yang berterusan tidak hanya mengancam kepentingan majikan atau keselamatan dan kesihatan pekerja tetapi juga mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan sesiapa sahaja di jalanan.


* Tan Sri Lee Lam Thye ialah Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat serta merupakan seorang aktiviti masyarakat yang sentiasa prihatin dengan masalah rakyat.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.