Tutup

Mengaku rakyat Malaysia, wanita Thailand gagal nyanyi lagu Negaraku, dakwa kad pengenalan disimpan ibu

Mengaku rakyat Malaysia, wanita Thailand gagal nyanyi lagu Negaraku, dakwa kad pengenalan disimpan ibu
Wanita warga Thailand (kiri) yang ditahan pihak berkuasa dibawa ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut. - Gambar Astro AWANI
JURU: Seorang wanita warganegara Thailand gagal menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku apabila mendakwa dirinya rakyat Malaysia ketika ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam operasi di Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara, malam tadi.

Wanita berusia 21 tahun itu juga gagal mengingati nombor kad pengenalan sendiri dengan mendakwa kad berkenaan disimpan oleh ibunya.
Pengarah Imigresen Pulau Pinang Mohamad, Husni Mahmud berkata, wanita  itu tetap berkeras dia  warganegara Malaysia termasuk mendakwa bersekolah dan tinggal di Alma, Bukit Mertajam sekalipun tidak mempunyai sebarang dokumen untuk menyokong dakwaannya itu.

Selepas gagal memberi bukti, akhirnya wanita berkenaan mengakui tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan hanya mempunyai sijil kelahiran dari negara asalnya, Thailand.
Menurut Husni, wanita itu pada mulanya ditahan pihak JPJ bersama teman lelaki warga tempatan berusia 20-an dalam operasi tersebut kerana nombor pendaftaraan kereta Honda dinaiki mereka tidak mematuhi spesifikasi.

Ketika diminta menyerahkan kad pengenalan, dia gagal untuk berbuat demikian.

Mohamad Husni berkata, selain wanita itu, pihaknya turut menahan enam lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 25 hingga 40 tahun dalam operasi tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Katanya kesemua mereka terdiri daripada tiga lelaki Myanmar, dua lelaki India dan masing-masing seorang wanita Thailand dan Indonesia itu dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  Operasi Khas Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Bersama Pelbagai Agensi Penguatkuasa, malam Selasa.

Operasi Khas Bersepadu JPJ Pulau Pinang bersama pelbagai agensi penguatkuasa mengeluarkan 152 saman pelbagai kesalahan. - Gambar Astro AWANI


Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang Mohamat Johari Mat Nor berkata, dalam operasi bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu, pihaknya telah memeriksa 362 buah kenderaan dan sebanyak 92 daripadanya di ambil tindakan membabitkan 152 saman pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, saman-saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh,tiada lesen kenderaan, ubah suai kenderaan, lebih muatan dan tiada insuran.

"Operasi membabitkan 231 pegawai dan anggota JPJ bersama polis, imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Plus itu bertujuan mempertingkatkan perception of being cought di kalangan pengguna jalan raya serta mengambil tindakan tegas ke atas pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.

Mahamat Johari berkata, dalam operasi itu juga, pihak polis telah memeriksa 28 kenderaan dan mengeluarkan empat saman manakala JAS pula membuat pemeriksaan ke atas 24 kenderaan sebelum mengeluarkan tiga saman.




Tag: polis, Dadah, wanita, Myanmar, saman, siasatan, undang-undang, warga asing, Imigresen, Pulau Pinang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.