Akibat tidak berpuas hati dengan majikannya yang didakwa tidak membayar gaji, seorang pekerja warga Indonesia mengamuk dan menetak tiga pekerja lain dalam kejadian di sebuah kilang penyimpanan makanan sejuk beku di Kampung Selamat, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 4 petang Rabu itu mengakibatkan seorang wanita maut manakala dua lagi kritikal.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Sia Seok Kee, 44 tahun, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kepala Batas manakala anak lelaki mangsa, Yong Wei Keong, 14 tahun, dan anak saudaranya Sia Yung Jern, 18 tahun, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor memaklumkan, ketika kejadian tiga mangsa berkenaan sedang bekerja dalam stor terbabit manakala seorang kerani wanita berada dalam pejabat.

Suspek yang bersenjatakan parang masuk ke dalam stor tersebut dan terus menetak semua mangsa secara rambang sebelum melarikan diri.

"Kita temui sebilah parang, dan siasatan awal mendapati serangan bermula di dalam bilik sejuk berdasarkan kesan darah yang ditemui.

"Tiga mangsa, kerani ada dalam pejabat sebab itu kita percaya serangan bermula di dalam bilik sejuk. (Bagaimanapun) suspek kita dah kenal pasti, dan sedang kesan," katanya.

Menurut Noorzainy, suspek telah bekerja selama setahun dengan abang mangsa dan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan majikannya yang tidak membayar gaji sebagaimana yang dijanjikan.

Katanya, gerakan mencari suspek berusia 31 tahun itu sedang giat dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambah beliau, orang ramai atau saksi kejadian berkenaan diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.