KEMANGKATAN Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad yang juga bonda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Isnin dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Almarhum Tengku Puan Zanariah merupakan Raja Permaisuri Agong yang kelapan ketika Almarhum Sultan Iskandar Ismail memerintah sebagai Yang Di-pertuan Agong dari 1984 hingga 1989.

Berikut fakta mengenai Almarhum Tengku Puan Zanariah:

* Tengku Puan Zanariah diputerikan pada 5 Julai 1940 di Istana Dusun Green, Pasir Mas Kelantan. Baginda yang juga puteri diraja Kelantan merupakan puteri ketujuh kepada pasangan Almarhum Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad Ibni Almarhum Tengku Temenggong Long Abdul Ja'far dan Che Puan Hajah Fatimah Binti Dato' Abdul Hamid.

* Baginda mula mendapat pendidikan formal di Sekolah Sultanah Zainab, Kelantan pada tahun 1946 sebelum melanjutkan pelajaran di Convent Bukit Nenas,Kuala Lumpur dari tahun 1950 hingga 1952

* Pada 1954, Almarhum Tengku Puan Zanariah melanjutkan pelajaran ke luar negara di Upper Chime School Isle of Wight, England.

* Baginda menamatkan zaman bujangnya dengan Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail pada 1961 ketika berusia 21 tahun.

* Almarhum Tengku Puan Zanariah dan Almarhum Sultan Iskandar dikurniakan seorang putera dan lima orang puteri.

* Baginda menjadi Sultanah Johor selama lebih kurang 29 tahun sejak 1981 sehingga 2010.

* Baginda juga pernah menjadi Raja Permaisuri Agong ketika Almarhum Sultan Iskandar menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong yang kelapan dari 1984 hingga 1989.

* Almarhum Tengku Puan Zanariah dikenali rakyat jelata dengan sikap dan peribadi baginda yang lemah lembut dan sentiasa mengambil berat akan perihal kaum wanita terutama wanita Johor.

* Baginda menubuhkan Majlis Wanita Negeri Johor atau MAWAR yang berfungsi sebagai penganjur majlis-majlis agama dan mengumpul dana untuk mangsa-mangsa banjir serta rakyat-rakyat yang kurang bernasib baik.

* Menjadi Sultanah Johor pertama yang berjaya menawan puncak gunung yang tertinggi di negeri Johor iaitu Gunung Ledang.

* Almarhum Tengku Puan Zanariah aktif dengan aktiviti luar seperti menunggang kuda, bermain golf, tenis serta ‘water ski'.

BACA: Bonda Sultan Johor Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad mangkat