ROH dan cara pimpinan Perdana Menteri pertama negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang yakin dalam setiap keputusan dilihat tidak terdapat dalam jiwa pemimpin hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keistimewaan Tunku Abdul Rahman itu turut menjadi bualan pemimpin Parti Perikatan malahan disegani pemimpin parti saingan pada masa itu.

"Satu keistimewaan Tunku yang sukar dicari pada jiwa pemimpin hari ini adalah keyakinannya pada pemikirannya, Tunku seorang yang liberal dan penuh kesederhanaan.

Saifuddin mengulas isu mengenai Tunku sempena hari kelahirannya yang ke-112 tahun, pada hari ini. Tunku dilahirkan pada 8 Februari 1903 dan meninggal dunia pada 6 Disember 1990.

Tunku merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955 dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.

Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung selain dikenang sebagai 'Bapa Kemerdekaan' dan 'Bapa Malaysia'.

Tunku merupakan seorang yang tidak pernah lokek dengan senyuman dan suka berjenaka. - Sumber Foto Arkib Negara

Kata Saifuddin lagi, walaupun disifatkan terbuka, Tunku turut dilabel sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam mempertahankan keharmonian negara.

"Tunku yakin dalam mempertahankan hubungan akrab dengan rakan-rakan sekepimpinan sama ada dalam komponen Perikatan pada masa itu seperti dengan MCA dan MIC malah caranya berjenaka dengan saing politiknya turut disenangi dan dihormati.

"Namun dalam suasana tertentu Tunku dilihat sangat tegas, misalnya dalam satu situasi Presiden MCA pada masa itu menuntut lebih kerusi di dalam Pilihan Raya Umum dan Tunku dengan tegasnya menafikan permintaan itu.

"Kata-kata Tunku yang mahu meneruskan pilihan raya dengan MIC dan mana-mana wakil MCA yang bersetuju dengannya pada masa itu membuktikan ketegasan Tunku, MCA akhirnya tunduk kepada ketegasan itu," katanya.

Ujarnya lagi, sikap liberal yang ada pada diri Tunku itu turut disifatkan tidak menghilangkan identitinya sebagai orang Melayu dan Islam dalam mempertahankan pendiriannya.


Contohi legasi kepimpinan

Saifuddin memberitahu, legasi kecemerlangan Tunku sehingga memperoleh kemerdekaan daripada British pada masa itu dilihat titik awal contoh kepimpinan 'menjaga' kemajmukan antara kaum di negara ini.

"Tunku sebenarnya mempunyai legasi yang sangat luar biasa sehingga digelar Bapa Kemerdekaan. Tunku tidak pernah merasa berdukacita kerana dilahirkan menjadi perdana menteri pertama.

"Sebaliknya Tunku menerimanya seadanya sebagai realiti dan menggunakan kekuatannya bersama kawan-kawan dari parti lain selain berbincang bagaimana untuk mentadbir sebuah negara yang sangat muda dan pelbagai kaum.

"Itu legasi paling utama, ada perlembagaan yang dipersetujui pada masa itu walaupun tidak 100 peratus sempurna tetapi ia cukup untuk menguruskan masyarakat," ujarnya.


Tunku pada masa itu kata Saifuddin, gigih dan mengajak Singapura, Sabah serta Sarawak dalam membentuk sebuah negara besar yang bersatu selain bertemu pelbagai kategori rakyat untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

"Tidak semua pemimpin mahu menerima hakikat ini, tidak dinafikan ada sesetengah pemimpin resah apabila dilihat perlu mengambil tanggungjawab dalam mengurus masyarakat pelbagai kaum dan budaya.

"Bagaimanapun legasi masyarakat berbilang kaum ini akan terus wujud dan masih relevan sehingga bila-bila," katanya.

Ujar Saifuddin lagi, walaupun diakui masalah boleh timbul di sana sini mengenai isu keharmonian, namun tidak boleh dinafikan ia perkara normal yang berlaku di mana-mana.

Jika Tunku masih ada?

Dalam pada itu, ketika ditanya apa agaknya tindakan Tunku masih ada dan 'dikelilingi' dengan penyebaran media sosial yang dipenuhi pelbagai isu yang susah disahkan kebenarannya, Saifuddin menjelaskan:

"Saya cuba membayangkan kalau pada zaman Tunku itu ada media sosial, bagaimana agaknya Tunku akan menanganinya. Tunku percaya kepada kebebasan suara dan pasti akan membenarkan serta menyeimbangkannya.

"Sebenarnya dalam diri Tunku itu ada kombinasi yang seimbang dengan kebijaksanaan dan ketegasan.

"Lihat sahaja dalam peristiwa konfrontasi, Tunku tidak berganjak daripada mempertahankan negara yang baru diwujudkan."


Saifuddin dalam nada jelas memberitahu, ciri Tunku yang tegas tetapi tidak keras disifatkan perwatakan menarik yang ada dalam diri pemimpin itu.

"Bagi mereka yang mengkaji sejarah Tunku, kita tidak boleh membayangkan Tunku yang mesra rakyat dalam membuat keputusan tertentu. Tunku tegas tetapi tidak keras ... itu ciri menarik yang ada pada Tunku.

"Tunku tahu menggunakan kuasanya sebagai perdana menteri, selain itu Tunku juga arif dengan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya dan membuat keputusan tepat.

"Tunku juga mampu menerima realiti dan berhadapan realiti dengan penuh kebijaksanaan serta penuh semangat persaudaraan dengan kawan-kawan dalam Parti Perikatan pada masa itu, itu kunci keamanan dan hubungan kaum itu dapat diraikan setakat yang sebaiknya," katanya mengakhiri perbualan.