Walaupun telah 10 tahun berlalu, bencana tsunami yang melanda rantau ini pada 2004 masih segar dalam ingatan penduduk kampung di sini malah kenangan pahit itu turut dikenang oleh 52 anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tsunami di beberapa pantai di Pulau Pinang pada 26 Dis 2004.

Dalam sekelip mata, orang tersayang hilang daripada pandangan setelah ditelan ombak besar yang mengganas akibat kejadian gempa bumi berhampiran Banda Aceh, Indonesia.

Namun tidak ramai yang mengetahui, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya juga merupakan seorang daripada mangsa yang terselamat daripada bencana tsunami pada 2004.

Mengimbau kembali tragedi itu, Dr Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata ketika kejadian itu, beliau sedang melawat kawasan Pantai Sungai Burung di sini selepas dilapor kejadian ombak besar.

Katanya, beliau dibawa oleh seorang rakan menaiki motosikal ke kawasan pantai Sungai Burung sebelum dipukul ombak besar kedua.

"Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, kami telah melawat mangsa di Pantai Sungai Burung sebelum mendapati ombak kedua sedang menuju ke arah kami.

"Kami terpaksa memegang sekuat-kuatnya kepada tiang telefon awam dan berasa syukur kerana terselamat daripada ombak kedua itu," katanya dalam ucapan perasmian program Tsunami 2004 Dalam Kenangan di sini hari ini.

Katanya, beliau bersetuju cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Farid Saad untuk membina tugu peringatan Tsunami berhampiran Pantai Pasir Panjang.

Bagi Mohd Aiman Sazali, 14, tragedi tsunami itu akan kekal dalam lipatan hidupnya kerana keseronokan berkelah bersama keluarga, bertukar tragedi selepas kehilangan ibu, Irdawati Suhimi, 23, yang ketika itu mengandungkan adiknya.

Katanya, keluarganya sedang berkelah di Pantai Pasir Panjang sebelum ibu menyedari ombak besar sedang menuju ke arah mereka dan menjerit supaya lari menyelamatkan diri.

"Jeritan ibu lari...selamatkan diri, masih segar dalam ingatan walaupun 10 tahun telah berlalu. Selepas melarikan diri meninggalkan pantai, saya cuba melihat ke belakang dengan harapan ibu akan selamat tetapi ibu telah lenyap," kata pelajar Sekolah Menengah Seri Balik Pulau itu sambil menahan air mata.

Mohd Aiman berkata beliau diberitahu, mayat ibunya ditemui keesokan harinya, di hujung tanjung lebih kurang tiga kilometer dari Pantai Pasir Panjang.

Sementara itu, bekas nelayan Ramlah Hassan, 67, dari Kampung Sungai Burung di sini berkata sewaktu tsunami 2004 melanda, beliau bersama adiknya sedang berada di laut.

Katanya, beliau menyedari sesuatu yang pelik apabila mendapati hasil tangkapan udang pada hari itu hampir satu tan lebih daripada hari-hari biasa.

"Pada jam lebih 12 tengah hari, bot kami dipukul ombak yang kuat semacam kepala kereta api dan setinggi pokok kelapa yang datang dari arah Pulau Kendi.

"Namun pukulan ombak kedua yang menyebabkan bot kami tenggelam dan lebih kurang dua jam berada di laut, saya mendapati diri saya berada di atas pokok kelapa," katanya.

Beliau bersyukur kerana adiknya dijumpai selamat oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di paya bakau berhampiran Pantai Pasir Panjang.