Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Hubungan Malaysia-China kembali normal

Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Hubungan Malaysia-China kembali normal
Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hasil lawatan dan rundingan kali pertama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China berjaya mewujudkan persefahaman antara kedua negara.
PUTRAJAYA : Hubungan Malaysia-China kembali normal selepas  berjaya menyelesaikan perjanjian Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek Bandar Malaysia.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia merupakan antara kejayaan dilakukan kementeriannya dalam masa setahun ditadbir di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).       

"Hubungan diplomatik, saya kira hubungan bilateral kita yang penting tentulah dengan semua negara penting. Pertama dengan China, lawatan Perdana Menteri ke China tahun lalu berjaya tetapi saya kira kali ini apabila Perdana Menteri menghadiri Forum Belt and Road Initiative (BRI), pada hujung April saya kira hubungan antara Beijing dengan KL boleh dikatakan normal seperti sedia kala kerana kita telah berjaya menyelesaikan dua isu yang sangat penting iaitu ECRL dan Bandar Malaysia," katanya pada sidang media pada Isnin.

Malah katanya,  negara republik itu turut bersetuju untuk menambah jumlah pembelian kelapa sawit negara.

"Hubungan Malaysia-China ada sedikit gangguan sebab kita beku dan runding balik (projek). Lawatan Perdana Menteri tahun lalu, Tun Dr. mahathir menjelaskan kedudukan dan menerangkan sebab projek dibatalkan dan dirunding semula. Kerajaan negara China dirasakan memahami. Sebab itu beberapa projek dirunding semula dan China menambah jumlah pembelian sawit. ECRL dan Bandar Malaysia diselesaikan dan reaksi ahli perniagaan adalah baik," tambahnya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan bahawa projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Pada masa sama, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia diberhentikan pada Mei 2017.


Tag: Mahathir Mohamad, Saifuddin Abdullah, Pakatan Harapan, Kuala Lumpur, China, Beijing, Malaysia, Diplomatic, Perdana Menteri, menteri, Pantai Timur, kerajaan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.