Pencapaian luar bandar menjadi tumpuan kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi negara dapat dinikmati secara inklusif oleh segenap lapisan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan antara bandar dan luar bandar sentiasa berjalan dan dilaksanakan.

Melalui usaha itu, Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan pada 29 Oktober 2018 mampu membangunkan masyarakat dengan lebih holistik.

Pelan ini merangkumi perancangan jangka masa pendek dan jangka masa sederhana, untuk tempoh 2018 hingga 2023.

Secara keseluruhannya, terdapat 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah keenam-enam teras ini termasuk lapan program keutamaan.

“Teras pertama prasarana, iaitu infrastruktur yang lengkap dan berkualiti. Kedua ekonomi yang lebih betdaya saing. Ketiga keusahawanan.

"Pendidikan juga merupakan yang terpenting dan kita fokuskan di kementerian, sebab kita nak memperkasakan usahawan luar bandar dan mewujudkan sumber pendapatan alternatif,” katanya pada sidang media sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di sini hari ini.

Selain itu, pelan ini juga akan melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan memperkasa wanita di luar bandar, selain sistem penyampaian yang berkesan.

Pada masa sama, kementeriannya juga menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) terhadap Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dapat mengurangkan sehingga 18 peratus harga rumah.

"Kita terima 35,000 permohonan perumahan PPR tahun lepas, sedangkan peruntukan kita untuk 1,300 buah rumah. Jadi, bagaimana nak bantu rakyat dengan keadaan kewangan ini?

"(Bagaimanapun) dalam kedudukan kewangan semasa kerajaan, kementerian tetap berjaya menambah rumah PPR yang baharu," ujarnya.