Respons Singapura terhadap perjanjian air dan isu maritim adalah antara kejayaan yang paling penting bagi negara, ujar Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia adalah antara sembilan perkara yang berjaya dibangkitkan negara dalam menyelesaikan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua negara.

"Dengan Singapura, ada sembilan perkara, dulu saya sebut lapan sebab tambah nombor sembilan itu nak menyelesaikan kesesakan lalu lintas. Dua perkara kita telah selesaikan iaitu tentang Johor Bahru Port Limits dan kedua tentang penggunaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar,"

Malah katanya, walaupun Malaysia telah berada pada fasa kedua iaitu mengenai harga air dan Singapura belum menyentuh mengenai perkara itu, namun sekurang-kurangnya ia mendapat respons negara berkenaan berbanding sebelum ini.

"Pada saya suatu kemajuan ialah apabila Singapura bersetuju untuk memulakan perbincangan tentang beberapa isu maritim yang lain yang sebelum ini tiada persetujuan untuk berbincang dan sekarang boleh bincang.

"Paling penting ialah bermulanya perbincangan perjanjian air. Dulu langsung tak nak bincang. Sekarang, sekurang-kurangnya telah mula on the table bagi kedua-dua pihak. Kita sudah masuk fasa kedua, soal harga. Singapura belum lagi. Namun sekurangnya it's on the table (kini dirunding)," tambahnya lagi.


Tegas beliau, perbincangan mengenai perjanjian air dengan Singapura itu bukan soal siapa menang atau sebaliknya, namun ia sekurang-kurangnya adil dari segi pasaran semasa.

"Apa yang kita nak sebutkan ialah harga yang ditetapkan itu adalah tahun 1962 dan hari ini banyak perkara berubah. Johor sendiri menjual air ke Melaka dengan harga tinggi berbanding ke Singapura. Pahang juga begitu," kata beliau.

Dari satu sudut katanya, harga yang dikenakan berkenaan seperti Malaysia memberi subsidi kepada Singapura.

"Satu cara lagi, mungkin ada keuntungan dari segi jual harga air mentah dengan harga rendah dan beli air dirawat dengan harga tinggi. Namun mungkin sepatutnya untungnya lebih besar. Ini adalah angka harus dilihat," ujarnya.

Singapura sebelum ini menolak rundingan semula perjanjian air kerana menganggap ia mencabar kedaulatannya sebagai negara merdeka, namun Malaysia berpendirian ia tidak begitu kerana terkandung dalam syarat perjanjian asal.

Ketika ini, Singapura hanya membayar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dari Johor, sedangkan Melaka membeli air dari Johor pada kadar 30 sen untuk 1,000 gelen.