Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari inimengumumkan senarai portfolio barisan exco negeri yang telah dilantik.

Beliau sendiri akan memegang portfolio Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, GLC dan Integrasi Nasional.

Lain-lain portfolio adalah seperti berikut:-


· Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
· Razman Zakaria (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil.
· Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan).
· Datuk Shahrul Zaman Yahya (Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor).
· Datuk Abdul Yunus Jamhari (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air).
· Mohd Akmal Kamarudin (Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan).
· Datuk Dr Norashikin Wan Noordin (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat).

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah dilantik akan turut memangku portfolio-portfolio tiga lagi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang masih belum diisi,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

BACA: Tujuh ADUN angkat sumpah sebagai Exco Perak

Ahmad Faizal sendiri juga akan memangku portfolio Kesihatan manakala Akmal akan memangku portfolio Sains,Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Nolee Ashilin memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia manakala ShahrulZaman akan memangku portfolio Belia dan Sukan.

Beliau percaya, pasukan yang dibentuk itu akan bekerja dengan kuat untuk menggalas cabaran-cabaran yang sedang dihadapi.

“Tetapi pada masa yang sama, pasukan ini juga memerlukan kerjasama, sokongan dan doa seluruh rakyat negeri Perak yang dikasihi dalam mengharungi badai gelora ekonomi kesan daripada wabak COVID-19,” ujarnya.