Menteri bidas pengkritik logo Tahun Melawat Malaysia 2020 kurang bijak

Menteri bidas pengkritik logo Tahun Melawat Malaysia 2020 kurang bijak
Kritikan yang dilemparkan berhubung logo Tahun Melawat Malaysia 2020 disifatkan Mohammadin Ketapi sebagai tidak berasas.
KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak yang mengkritik logo Tahun Melawat Malaysia 2020 disifatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai kurang bijak.

Menurut beliau, segala kritikan yang dibuat juga dianggapnya sebagai tidak berasas.

Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, jelas beliau,  akan terus mengekalkan logo Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kita kekalkan pasal kritikan itu tidak berasas, bukannya satu kritikan orang yang bijak, kalau kritikan orang bijak kita akan lihat balik, kritikan tidak bijak jadi kita abaikan sahaja”, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Leonardo Opera Omnia di Balai Seni Negara, di sini pada Selasa.




Mengulas dakwaan bahawa logo berkenaan juga telah diciplak pula, Mohammadin menegaskan, mana mungkin berlaku elemen peniruan memandangkan rekaan itu merupakan idea kreatif pemegang ijazah rekaan grafik kelas pertama selain turut memenangi anugerah dalam seni lukis.

“Graduan ijazah kelas pertama tidak akan melakukan perbuatan tiru-meniru kerana dia tidak berminat memalukan dirinya sendiri.

“Hanya orang yang tidak pandai lukis akan meniru,” tegas Mohammadin lagi.

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin mengundangan kritikan daripada netizen di media sosial.

Selain rekaan logo yang disifatkan tiada keaslian, penggunaan bahasa Inggeris pada slogan Tahun Melawat Malaysia 2020, 'Visit Truly Asia Malaysia' juga dikritik sebagai 'pelik'.

Menjelas persoalan itu pula, Mohammadin berkata, mereka yang mempertikai slogan 'Visit Truly Asia Malaysia' itu berkemungkinan kurang memahami dengan mendalam maksud frasa berkenaan dalam bahasa Inggeris.


Tag: Menteri bidas pengkritik logo Tahun Melawat Malaysia 2020, Tahun Melawat Malaysia 2020, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Mohammadin Ketapi


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.